Nelson Mandela Meninggal Dunia Pada Usia 95 (Kronologi)

Trending

Nelson Mandela Meninggal Dunia Pada Usia 95 (Kronologi)

JOHANNESBURG: Ikon anti-apartheid terkenal Afrika Selatan, Nelson Mandela meninggal dunia pada Khamis di usia 95 tahun.

Advertisement

Pemenang anugerah Nobel Keamanan yang dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan berkulit hitam yang pertama itu meninggal dunia di rumahnya di Johannesburg dengan tenang sambil dikelilingi ahli keluarganya.

Kesihatan Mandela telah sekian lama terjejas selepas menjalani rawatan jangkitan paru-paru.

Berita kematiannya diumumkan dengan nada sebak oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma secara langsung pada awal pagi ini.

“Negara kita ini kehilangan seorang anak lelaki yang hebat. Kita juga kehilangan seorang ayah.” Ujar Zuma.

Mandela dibenarkan keluar dari hospital pada September, namun terus diberikan rawatan intensif di rumah. Sejarah penyakit yang dihidapinya sekian lama itu bermula ketika dia dijangkiti batuk kering ketika di dalam penjara.

Ekoran pengumuman kematian ikon dunia itu, orang ramai berkumpul di jalanan berhampiran rumah Mandela bagi meraikan kehidupan bekas presiden itu. Nyata, dia seorang pemimpin yang disayangi rakyatnya.

Kematian Mandela turut diterima dengan tenang bagi beberapa ahli politik dunia termasuk Presiden Amerka Syarikat, Barack Obama.

Dalam ucapannya, Obama memuji Mandela sebagai lelaki yang sangat baik dan membikin sejarah dengan membentuk moral dunia menuju keadilan.

Mandela ketika hayatnya menghabiskan 27 tahun daripada usianya di belakang jeriji besi penjara sebelum dibebaskan pada 1990 dan mengetuai Kongres Nasional Afrika (ANC) dalam perbincangan dengan pemimpin minoriti kulit putih yang akhirnya menghasilkan pilihan raya pelbagai kaum pertama pada tahun 1994.

Beliau berkhidmat sebagai presiden selama satu penggal sebelum mengambil beberapa peranan lain dan akhirnya bersara daripada khalayak ramai pada 2004.

Ketika hayat

Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan pada Julai 1918 di daerah Transkei, dan memulakan karier sebagai peguam di Johannesburg pada waktu yang sama dengan aktiviti politiknnya.

Beliau menjadi ketua komander kepada ‘Umkhonto we Sizwe’ atau Spear of the Nation, sayap kepada ANC yang kini telah diharamkan dan seterusnya menjalani latihan ketenteraan di Algeria dan Ethiopia.

Mandela kemudian ditangkap polis pada 1962 di Afrika Selatan kerana pergerakan yang dipimpinnya, dan beliau dipenjarakan selama lima tahun.

Mendiang didakwa mensabotaj dan kemudian dipenjarakan seumur hidup pada 1964 ketika perbicaraan Rivonia, yang mengambil nama sempena sebuah bandar di pinggiran Johannesburg di mana beberapa pemimpin ANC ditangkap.

Beliau menggunakan perbicaraan itu untuk menyampai sebuah ucapan yang kemudian dijadikan manifesto pergerakan anti-apartheid.

Mandela pada awalnya dihantar ke penjara di Pulau Robben, di mana dia menghabiskan 18 tahun sebelum dihantar ke penjara Pollsmoor di Cape Town pada 1982, dan kemudian ke penjara Victor Verster berhampiran Paarl.

Beliau dibebaskan pada 11 Februari, 1990 dan melangkah keluar dari penjara sambil mengangkat penumbuk ke udara sebagai tanda kejayaan.

Pengkritik berkata, penggal lima tahun ketika dia menyandang jawatan presiden sebagai tahun menyaksikan kenaikan jenayah dan rasuah di negara itu. Namun penyandang seterusnya tidak menerima kasih sayang dan rasa hormat masyarakat seperti yang diterima Mandela.

Setelah bersara, beliau memberi focus terhadap menjadi orang tengah kepada konflik, yang menyaksikan konflik Burundi sebagai sesuatu yang paling diingati. Beliau juga cuba untuk menaikkan kesedaran tentang AIDS, penyakit yang telah meragut nyawa anak lelakinya, Makgatho.

Mandela berkahwin buat kali ketiga pada usia 80 tahun bersama bekas isteri mendiang presiden Mozambique, Samora Machel.

Mandela memiliki tiga anak perempuan, 18 cucu, sembilan cicit dan tiga cucu tiri. Beliau mempunyai empat anak tiri melalui perkahwinannya bersama Machel.

RIP Nelson Mandela

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...