October 3rd, 2017

Menjadi seorang Neelofa bukanlah satu perkara yang mudah. Neelofa adalah wanita yang boleh dikatakan sempurna. Berjaya dalam perniagaan, mempunyai jumlah pengikut ramai di laman sosial, cantik manis bertudung, pandai berkata-kata dan merupakan duta kepada banyak produk. Sudah tentu kepopularitian yang dikecapi sebagai seorang selebriti berhijab menyebabkan apa sahaja yang dilakukan oleh Neelofa menjadi perhatian ramai. Malah netizen juga banyak menegur Neelofa sekiranya melihat gaya fesyen yang dipakai olehnya tidak bersesuaian dengan imej seorang wanita berhijab.

neelofa hijab

Namun kadangkala komen dan kritikan oleh netizen kepada Neelofa agak melampau sehingga boleh menyakitkan hati. Neelofa sendiri agak sedih dengan komen-komen yang diterima, seolah-olah segala usaha yang dilakukannya dalam menaikkan martabat wanita berhijab tidak dihargai. Namun ada juga netizen yang menghargai segala perjuangan Neelofa. Kata Neelofa:-

Saya sedih apabila netizen yang mengecam ini langsung tidak menghargai dan melihat usaha dalam memecahkan tembok wanita berhijab di Malaysia menghadiri forum ini. Saya cuba mengubah streotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan. Malangnya apa yang mereka nampak semuanya negatif sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dengan penampilan saya waktu itu. Saya kagum dengan sikap mereka yang tidak menghukum wanita bertudung. Mereka sangat terbuka dengan penampilan saya dan menghormati saya sebagai seorang wanita Islam.

Apabila menyentuh mengenai fesyen, saya akui gemar bereksperimentasi dan setiap gaya yang diterjemahkan perlulah mengikut batas yang perlu dipatuhi. Jika dulu wanita takut dan tidak berani mengenakan tudung dan sering memberikan pelbagai alasan. Sekarang saya percaya dengan penampilan bertudung saya ini sedikit sebanyak dapat membuka mata dan mengubah perspektif mereka terhadap wanita bertudung. Saya percaya mereka yang mengkritik tidak tahu mengenai fesyen baru. Jadi, saya perlu beri mereka ruang untuk mengetahui gaya fesyen terkini dan lambat-laun mereka pasti dapat menerimanya.

neelofa hijab

Bak kata orang, kritikan itu adalah tanda sayang. Kadangkala memang teguran itu pedas dan sukar diterima, namun bila direnung kembali, akan ada kebenaran dan hikmahnya. Neelofa juga harus bersikap lebih terbuka menerima teguran. Perlu diingatkan tanpa peminat, Neelofa tidak mungkin akan boleh berjaya seperti hari ini. Apa pun Abang Nara respek dengan usaha Neelofa menaikkan martabat wanita berhijab. Semoga terus kekal istiqamah dalam perjuangan ini. Good luck and all the best.


Comments are closed.

Loading...