Setelah Datuk Siti Nurhaliza, kini giliran Neelofa pula dipanggil untuk bertemu dengan majlis penasihat kerajaan. Mengikut sumber, Neelofa telah memberikan taklimat mengenai ekonomi industri fesyen Muslimah dan pasaran semasa di dalam perjumpaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin itu.
Turut sama dijemput untuk pertemuan ini ialah Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang merupakan pengasas FashionValet dan juga jenama tudung popular, Duck. Selain itu nama-nama usahawan besar lain seperti pengarah GRV Toy Store Sdn Bhd, Mustakin Manaf, pengasas Les Copaque Production, Burhanuddin Radzi, pengasas Hyra Oil Sdn Bhd, Hazimah Zainuddin dan pengasas restoran Serai Group, Rina Abdullah turut sama hadir. Dimaklumkan masa perjumpaan tersebut hanyalah 30 minit untuk 2 sesi berasingan.
Nampaknya pengaruh dan impak Neelofa di dalam industri perniagaan diakui oleh orang-orang penting kerajaan kerana telah dipanggil untuk memberikan idea kepada mereka. Tahniah diucapkan kepada Neelofa. Tidak dinafikan jenama Naelofar adalah satu jenama yang cukup besar buat rakyat Malaysia. Semoga pertemuan ini akan membuahkan hasil yang mantap, bernas dan bijak untuk terus membangunkan industri perniagaan tanah air.