Bapa dan juga pengurus kepada Shila Amzah, ND Lala telah memaklumkan akan menyelesaikan konflik yang tercetus antara pihaknya dengan media Melayu dalam masa terdekat ini. Menurut ND Lala, pihak pengurusan Shila Amzah belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan berhubung salah faham yang timbul membabitkan isu jemputan media untuk konsert anaknya yang telah berlangsung baru-baru ini.
Selain daripada isu jemputan, ND Lala akan turut menjawab sebarang pertanyaan mengenai dakwaan konsert Shila Amzah ditaja oleh syarikat judi. Kata ND Lala menerusi Harian Metro hari ini:-
Waktu ini tidak sesuai. Kami tengah fokus dengan rakaman album Mandarin Shila di Beijing. Saya tengah cari tarikh terdekat untuk balik Malaysia dan memenuhi permintaan rakan media untuk mendapat maklum balas. Jumpa nanti.
Semoga dengan penjelasan daripada ND Lala kelak akan menjernihkan hubungan Shila Amzah dengan para media Melayu yang telah keruh akibat kontroversi ini. Sama-samalah kita nantikan kepulangan mereka.