Pelakon Nazrief Nazri dilaporkan terpaksa ditahan di sebuah pusat perubatan di Puchong selepas dia diserang sakit perut yang berpanjangan pada malam Khamis lalu.
Ujar pelakon drama Bidadari Salju ini lagi, doktor telah mengesahkan dia menghidapi penyakit apendiks membengkak dan perlu dibedah dengan segera.
View this post on Instagram
Nazrief yang pada mulanya didiagnosis dengan keracunan makanan setelah berjumpa doktor untuk kali pertama kemudiannya terpaksa memanggil ambulan setelah pulang ke rumah kerana sakit semakin teruk dan dia hanya mampu terbaring kesakitan.
“Lepas saya balik rumah rasa sakit tu tetap ada. Saya buat keputusan untuk call ambulan dalam pukul 11.30 malam. Isteri saya tengah sarat, dia tak boleh memandu. Bila sampai sana, doktor cakap apendiks saya dah bengkak, tapi alhamdullilah tak pecah lagi. Tapi tetap kena buat pembedahan jam 3 petang tadi.”
Dia dalam pada itu turut meluahkan rasa bimbang apabila terpaksa meninggalkan isteri tercinta, Aizatul Akma yang sedang sarat hamil keseorangan di rumah.
Bimbang apa-apa terjadi kepada isteri kesayangan, Nazrief turut terasa ralat kerana perkara tersebut terjadi ketika Aizatul sedang sarat hamil menunggu hari.
Namun, dia hanya menganggap segala yang terjadi sebagai dugaan dan berharap dirinya sihat dengan secepat mungkin.
Sekadar info, Nazrief dan Aizatul Akma telah mendirikan rumah tangga pada 15 November 2019 yang lalu dan dijangka menimang cahaya mata pertama pada 22 Julai ini.