Episod perceraian pelakon Nazim Othman dan Bella Dally tidak dinafikan agak mengejutkan ramai. Tiada angin, tiada ribut kedua-duanya membuat keputusan untuk berpisah.
Walaupun masih ada dikalangan peminat tidak henti mengaitkan mereka berdua, Nazim bagaimanapun sudah meneruskan kehidupannya dan tidak sesal bergelar duda. Setiap apa yang berlaku mengajar Nazim untuk lebih matang dalam menghadapi masalah.
Jadi apa sahaja yang berlaku adalah pengajaran yang paling berharga buat diri ini. Jika orang lain menganggap ia adalah ‘bala’, saya pula anggap ia pelajaran paling berharga. Saya tidak pernah menganggap setiap peristiwa buruk yang berlaku sebagai balasan. Sebaliknya, ini adalah kasih sayang daripada Tuhan.
Dengan adanya ujian dan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan, bukankah itu mematangkan hidup? Cuma sebagai manusia ruang dan peluang itu sentiasa ada dan jangan sesekali mensia-siakannya.
Biasalah, bila sudah bersendirian, pasti akan ada pihak yang ingin memperkenalkan Nazim dengan wanita lain dan mahu menjadikannya menantu. Namun, buat masa ini beliau tidak memikirkan soal jodoh dan hanya ingin membahagiakan diri sendiri dan keluarga.