Mendapat tempat terakhir dalam program nyanyian Gempak Superstar baru-baru ini, ada pihak yang mendakwa Nazim Othman terlalu kecewa sehingga tidak hadir pada sidang media yang diadakan selepas konsert akhir program tersebut.
Walaubagaimanapun, Nazim menafikan spekulasi berkenaan dan beliau berniat mahu pihak media fokus pada juaranya sahaja.
Itu sekadar spekulasi. Lagipun sidang media diadakan sebaik sahaja program tamat. Sekiranya saya dapat tempat kedua sekalipun, saya tetap tidak akan hadir ke sidang media itu. Biarlah keutamaan diberikan kepada juara. Pasti ada banyak soalan yang ingin diajukan kepada pemenang utama, jadi saya dahulukan dia.
Nazim tidak mencemburui rakan-rakan beliau yang lain, cuma kecewa dengan dirinya sendiri atas kekalahannya. Menurut Nazim beliau sudah menghancurkan harapan peminat yang melabur wang untuk mengundi beliau.
Ya, saya kecewa kerana kekalahan saya menghancurkan harapan peminat yang menyokong dan melabur wang untuk mengundi saya hingga ke minggu final.
Saya kalah tetapi masih menang di hati peminat yang tidak berhenti memberi sokongan moral selepas keputusan diumumkan. Itu sudah cukup melegakan perasaan. Jadi saya bersyukur.
Kalah atau menang bukan ukuran untuk menilai bakat nyanyian seseorang, lagipun malam itu Nazim Othman sudah buat yang terbaik cuma bukan rezeki beliau untuk menang. Siapa tahu, selepas ini ada peluang lain untuk Nazim ceburi bidang nyanyian?