Setelah lama dihimpit gosip mengatakan rumah tangga mereka mempunyai masalah, akhirnya segala teka-teki terjawab saat Nazim Othman mengumumkan mahligai yang dibina bersama Bella Dally sudah pun runtuh setelah gagal mempertahankan perkahwinan mereka meskipun sudah mencuba sebaik mungkin.
Tentunya berita itu turut memberikan kesan kepada peminat mereka yang turut merasa sedih serta simpati dengan perceraian mereka. Menurut Nazim, hatinya masih rapuh dan belum bersedia untuk menjawab pelbagai persoalan tentang perpisahannya itu.
Saya hanya mahu meneruskan hidup, tiada apa-apa yang boleh dikongsikan. Cukuplah luahan hati yang dibuat di laman Instagram. Saya rasa itulah yang terbaik buat masa ini. Bukan saya tidak mahu menjawab persoalan demi persoalan, tetapi hati saya rapuh dan belum bersedia. Tunggulah saya mendapat ketenangan jiwa terlebih dulu.
Apabila hati dan jiwa sudah tenang, mungkin saya diberikan kekuatan untuk berkongsi cerita. Saya membuat kenyataan di laman sosial hanya untuk memberitahu status kami, bukan menyebarkan cerita rumah tangga.
Salah dan silap, biarlah kami simpan dalam lubuk hati yang paling dalam. Kami mempunyai keluarga, yang perlu dijaga hati dan perasaan mereka.
Nazim menceraikan Bella pada 2 Mei lalu di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, Sabah. Mereka redha dengan ketentuan takdir dan tidak menyimpan sebarang perasaan dendam antara satu sama lain.