Pelakon dan model terkenal, Natasha Hudson, kembali mencuri perhatian warganet selepas dilihat memadam semua foto berhijab di akaun Instagram miliknya.
Natasha atau nama penuhnya Natasha Liana Hudson Mohd Redzuan, 43, turut memuat naik gambar terbaharu tanpa tudung ketika melakukan aktiviti sukan pantai menerusi ruangan Instastory.
Sebelum ini, pelakon filem Chermin itu pernah dilaporkan kembali berhijab sekitar bulan Julai lalu, namun perubahan terbaharu ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Pemenang Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20 itu sebelum ini dilihat aktif berkongsi kehidupan sederhana dan tenang di Pulau Langkawi, termasuk aktiviti bercucuk tanam serta gaya hidup kampung bersama keluarganya.
Selain itu, Natasha juga dikenali sebagai antara selebriti yang lantang bersuara mengenai isu Palestin di media sosial.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Natasha membuat keputusan membuka hijab. Beliau pernah beberapa kali melalui fasa perubahan penampilan, termasuk memakai purdah pada satu ketika.
Sejak berkahwin buat kali kelima pada tahun 2022 dan menetap di Langkawi, Natasha dilihat semakin aktif menjalani gaya hidup pantai dan sukan luncur air bersama suaminya.
Meskipun perubahan imejnya mencetuskan pelbagai reaksi, ramai yang berharap Natasha terus diberi ketenangan dan kekuatan dalam perjalanan peribadi serta spiritualnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.