Musim cuti makin hampir, namun bajet terhad bukan alasan untuk berkurung di rumah. Di Malaysia, terdapat pelbagai taman tema air yang menawarkan keseronokan maksimum dengan harga tiket mesra poket, sesuai untuk percutian bersama keluarga dan rakan-rakan.
Berikut lima taman tema air dengan harga tiket bawah RM50 yang boleh dimasukkan dalam senarai percutian anda.
1. Wet World Waterpark Shah Alam
Lokasi: Shah Alam, Selangor
Harga tiket: RM39 (dewasa), RM35 (kanak-kanak)
Beroperasi sejak tahun 1996, Wet World Waterpark Shah Alam kini memasuki usia lebih dua dekad dan masih menjadi pilihan ramai. Taman tema air ini menawarkan pelbagai permainan popular seperti Super Hurricane, Monsoon Buster dan Caribbean Rider yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Selain keseronokan, Wet World Shah Alam turut komited terhadap kelestarian alam sekitar dengan pengurusan sumber air yang cekap serta persekitaran yang selamat dan mesra pengunjung.
2. A’Famosa Water Theme Park
Lokasi: Alor Gajah, Melaka
Harga tiket: RM49 (dewasa), RM39 (kanak-kanak)
Bagi pencinta aktiviti mencabar, gelongsor air setinggi tujuh tingkat di A’Famosa Water Theme Park pasti menguji keberanian. Taman ini turut menawarkan 11 tarikan lain termasuk kolam ombak dan lazy river.

Dengan panorama hijau sekitar Melaka, pengalaman di sini bukan sahaja menyeronokkan malah sukar dilupakan. Pembelian tiket secara dalam talian disarankan untuk mendapatkan harga lebih jimat.
3. Splash Out Langkawi
Lokasi: Langkawi, Kedah
Harga tiket: Bermula RM25
Selain terkenal dengan pantai yang indah, Langkawi juga menempatkan Splash Out Langkawi yang menawarkan 12 tarikan air menarik seperti Wild Water, Sprinkle Island dan Poseidon’s Revenge.
Daripada gelongsor ekstrem hingga kolam santai, taman ini sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa. Dengan cuaca tropika yang hangat, sesi bermain air di sini pasti menjadi memori manis sepanjang percutian.
4. Big Bucket Splash Rawang
Lokasi: Rawang, Selangor
Harga tiket: RM20 (dewasa), RM40 (kanak-kanak)
Walaupun bersaiz kecil, Big Bucket Splash tetap menawarkan pengalaman menyeronokkan terutamanya untuk kanak-kanak. Konsep taman yang lebih intim menjadikannya sesuai untuk keluarga yang ingin bersantai tanpa kesesakan.
@reezreefhan Big Bucket splash Gamuda Garden #bigbucketsplash #gamudagarden #rawang #gamudagardenrawang
Harga tiket yang sangat berpatutan serta kemudahan mesra keluarga menjadikan lokasi ini pilihan ideal untuk percutian ringkas.
5. Bukit Merah Laketown Water Park
Lokasi: Bukit Merah, Perak
Harga tiket: Bermula RM40
Menawarkan 14 tarikan air, Bukit Merah Laketown Water Park menyediakan pelbagai permainan seperti Racer Slides, Boomerang dan Crazee Cone. Pengunjung boleh menikmati seharian penuh keseronokan dengan gelongsor dan kolam ombak yang mencabar.
Dengan harga tiket serendah RM40, taman tema air ini sesuai untuk mereka yang ingin bercuti sambil mengawal perbelanjaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

