Boleh dikatakan selendang di atas bahu merupakan fesyen eksklusif buat wanita-wanita kenamaan menggayakannya bersama baju kurung atau kebaya jika hadir ke majlis-majlis rasmi dahulu kala, namun fesyen tersebut nampaknya kini sedang meraih perhatian semula.
Dulu cuma dipakai orang-orang kenamaan tapi kini..
Difahamkan melalui laporan Bernama, menggayakan selendang bersama baju kurung atau kebaya kini menjadi pilihan ramai, terutama buat kaum muda susulan kebanyakkan pereka fesyen dan pengeluar pakaian pelbagai jenama mengadaptasi selendang itu menjadi koleksi Aidilfitri untuk tahun ini.
Menurut pereka fesyen, Zachrin Jaafars, menggayakan selendang di bahu kini sudah menjadi satu norma di kalangan kaum wanita dan antara sebab ia menjadi pilihan ramai kerana tekstil yang digunakan kini lebih praktikal serta lebih selesa untuk dipakai di semua acara, selain boleh membelinya dengan harga yang berpatutan.
Era 90-an dan 2000-an, pilihan fabrik agak terhad dan tertumpu pada shantung, sutera Thai dan sutera sifon. Dahulu, yang buat selendang ini semuanya pereka fesyen atau tukang jahit untuk mereka yang hendak pergi istana atau untuk orang berada.
Harga berpatutan, fabrik lebih selesa untuk dipakai
Tambahannya lagi, helaian fabrik itu bukanlah sekadar fesyen sahaja tetapi mempunyai fungsi yang tertentu.
Asalnya, selendang digunakan sebagai kerudung memandangkan (ketika itu) tidak ramai lagi yang bertudung litup seperti sekarang, di samping perlindungan daripada cuaca. Namun kini, ia lebih kepada elemen gaya dan kesopanan dalam berpakaian.
Zachrin turut membandingkan fabrik selendang dahulu mempunyai sulaman emas serta manis berjurai tetapi kini selendang yang digunakan lebih ringan serta minimalis iaitu kain sejenis sifon atau organza.