Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah derita terpaksa ditanggung oleh si pemilik kedai yang telah disihir akibat sifat cemburu orang lain yang tidak berpuas hati dengannya.
Walaupun melangkah ke dunia moden yang serba canggih, namun tidak dinafikan perbuatan sihir dan khurafat masih berlaku dalam kalangan segelintir individu yang menyimpan dendam.
Menurut satu kisah yang dikongsi oleh Ahmad Junaidi Abdul Aziz di dalam Facebook, semasa beliau sedang mengemas bilik pameran untuk menutup kedainya, beliau terjumpa barang sihir yang diletakkan di kedainya.
Ini diketahui semasa pekerjanya sedang mengalihkan barang dan terjumpa barang sihir ini di belakang locker besi.
Aku just nak bagi tahu, siapa-siapa yang hantar benda ini, kau dah berjaya. Tetapi aku langsung tak marah dan nak ucap terima kasih kat kau.
Kerana apa yang kau hantar ini, buat aku buka mata untuk cuba banyak lagi cabang bidang perniagaan lain.
Aku maafkan kau dari hujung rambut sampai hujung kaki. Kalau boleh marilah kita bersahabat. Semoga menjadi asbab untuk kita sama-sama berjaya di dunia dan akhirat.
Perkongsian lelaki ini telah mendapat perhatian ramai netizen dan turut dikongsikan oleh mereka untuk dijadikan pengajaran kepada semua orang yang turut mengamalkan perbuatan sebegini untuk menjatuhkan orang.
Anda pasti ingin tahu apakah yang terdapat di dalam balutan kain kuning ini. Pasti ramai yang dapat meneka apakah kandungan yang terdapat di dalamnya.
Tanah Kubur dan Gambar Mangsa
Kain balutan berwarna kuning ini dipercayai mempunyai tanah kubur yang turut diletakkan bersama gambar mangsa dengan tujuan sihir untuk mengenakan mangsa dengan niat yang jahat.
Ada yang berpendapat balutan kain kuning ini adalah santau yang telah dihantarkan oleh seseorang kepada mangsa atau dengan lebih tepat lagi ia dipanggil juga sebagai santau angin dengan tujuan untuk menjatuhkan perniagaan mangsa atau menganggu kehidupannya.
Mengapa masih lagi ada manusia yang sanggup berbuat demikian dan tergamaknya mereka buat begini dengan tujuan untuk menyihirkan mangsa menggunakan ilmu hitam yang sememangnya ditegah oleh agama Islam.
Selepas lelaki tersebut melihatkan kandungan kain kuning tersebut beliau mengambil keputusan untuk membakar barang tersebut dan itulah yang sepatutnya dilakukan. Mengapa perlu disimpan jika ia boleh memudaratkan dirinya sendiri.
Semoga kita semua tidak mempercayai sihir. Sihir adalah haram dan menggunakan unsur syirik iaitu amalan atau ritual menerusi perantara seperti jin atau syaitan selain daripada Allah.
Bagi mereka yang melakukan sihir, dikatakan sudah terkeluar daripada agama Islam iaitu riddah (murtad) kerana amalan itu adalah bertentangan dengan syariat Islam.
Manakala, bagi mereka yang mendapat khidmat sihir pula dikira kufur dan tidak diterima amalan oleh Allah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam.” – Riwayat Muslim (5957)
Sumber: Facebook