Mendedahkan dirinya langsung tidak hirau dengan segala kecaman yang diterima selepas tular video lakonan memakai gelang pink di tempat awam, personaliti media sosial, Chazynash mengakui tetap akan tetap meneruskan berkarya meskipun tidak disukai oleh segelintir pihak.
Namun begitu, beliau juga tidak ketinggalan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang menyokongnya selama ini.
“Jadi kepada pengunjung-pengunjung baru, selamat datang ke Instagram saya. Jangan segan-segan ‘follow’ saya. Tak suka video saya, nak kecam, kecam lah. Apa jadi pun, saya tetap akan terus berkarya. Terima kasih kepada semua yang sokong, alhamdulillah syukur.”
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya menyerunya untuk lebih peka pada masa akan datang. Malah tidak kurang juga, posting yang memaparkan wajahnya bersama pelawak tersohor tanah air Zizan Razak itu juga turut mendapat kecaman daripada warganet.
Terbaru, video menimbulkan kontroversi itu turut mendapat perhatian daripada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail memaklumkan individu berkenaan membuat kesalahan kerana mempunyai niat untuk menipu orang ramai.
Justeru, isu ini diserahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap individu yang tidak bertanggungjawab itu.
Terdahulu tular aksi Chazynash tampil memakai gelang pink di sebuah restoran hingga mencetuskan panik dalam kalangan netizen.