Kerajaan Kelantan akan meneliti hasrat Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman yang merancang untuk membina hotel bertaraf enam bintang yang bernilai RM280 juta berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Hasmiza atau Dr. Vida berkata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob bersetuju untuk meneliti cadangan itu menerusi satu pertemuan dan akan memberi jawapan dalam masa yang terdekat.
“Hasil pertemuan itu, Menteri Besar secara umumnya menerima cadangan berkenaan. Bila persetujuan diperolehi, projek akan kita buat dalam kadar segera,” katanya sebagaimana lapor Bernama.
Dr Vida berkata pembinaan hotel itu bakal dinamakan sebagai Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) dalam satu usaha beliau menjadikan pasukan bola sepak itu lebih maju dari segi kemudahan setanding dengan kelab bola sepak Eropah.
Hotel setinggi 19 tingkat itu dilaporkan bakal dibina di tanah seluas 0.7 hektar berhampiran dengan papan skor elektronik stadium negeri yang bakal memberi wajah baru kepada Kelantan.
Hotel tersebut juga dikatakan bakal dilengkapi dengan kompleks sukan yang menyediakan kemudahan permainan boling, tenis dan golf selain masjid serta kafe.
Menurut Dr. Vida juga hotel itu akan memberikan peluang kepada mereka yang menginap di hotel terutamanya peminat bola sepak Kelantan untuk menyaksikan perlawanan terus dari bilik.
“Hotel ini juga secara tidak langsung akan menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan,” katanya.
Nampaknya perubahan yang Datuk Vida ni bukan calang-calang, boleh dikatakan banyak benda baru yang Datuk Vida nak tambah. Pergh!