Penyanyi bersuara lunak, Aisha Retno, akhirnya tampil memberikan pandangannya mengenai isu yang membabitkan sepupunya, pelakon Sophia Albarakbah, dan bekas isteri kepada Aliff Aziz, Bella Astillah, yang kembali hangat diperkatakan selepas sebuah majlis anugerah baru-baru ini.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, mengakui dirinya berada di tengah-tengah kerana mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua individu terlibat.
“Sebenarnya, cerita ini dah agak lama dan alhamdulillah kedua-dua pihak pun masing-masing sudah ‘move on’.”
“Saya sebagai orang tengah walaupun Sophia ialah sepupu saya dan saya juga berkawan baik dengan Bella, saya nak katakan, insya-Allah selesaikan apa yang perlu diselesaikan dengan cara yang baik,” katanya kepada Gempak.
Sokong Kebenaran, Bukan Emosi
Menariknya, Aisha menegaskan bahawa dia tidak menyebelahi mana-mana pihak secara membuta tuli. Baginya, kebenaran tetap perlu ditegakkan, walaupun ia melibatkan darah daging sendiri.
“Kalau Sophia salah, dia tetap salah. Kalau betul, dia betul. Sama juga dengan Bella – mana salah, tetap salah; mana betul, tetap betul,” jelasnya dengan jujur.
Tambah Aisha, pertemuan secara matang dan penuh adab mungkin boleh menjadi jalan terbaik untuk menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku.
“Saya tak ada hak untuk berkata apa-apa, cuma saya boleh kata selesaikanlah berdua, dan jangan lagi mencoret luka di hati masing-masing.”
“Waktu sudah berlalu, semua pun dah move on. Mungkin kalau berbincang secara terbuka, boleh saling memaafkan,” ujarnya lagi.
Puji Profesionalisme Sophia & Bella
Mengulas tentang insiden ketika majlis anugerah, Aisha turut memuji ketenangan dan sikap profesional yang ditunjukkan oleh kedua-dua wanita itu.
“Apa-apa pun yang berlaku malam itu, pada saya, mereka berdua sangat profesional.”
Orang boleh kata itu ‘set up’, atau berlaku perubahan saat akhir tapi dalam industri ni, kita kena sentiasa bersikap profesional.
“Dua orang seperti Sophia dan Bella menunjukkan sikap yang wajar dicontohi. Jujur, kalau saya yang berada dalam situasi itu, mungkin saya dah menggigil dan hilang fokus,” tambahnya.
“Ini Ujian Buat Mereka”
Akhir kata, Aisha menyifatkan segala yang berlaku sebagai ujian dalam perjalanan kerjaya Sophia dan Bella. Sebagai insan seni, beliau hanya mampu mendoakan yang terbaik buat kedua-duanya.
“Insya-Allah ini adalah ujian untuk Sophia. Semakin tinggi kedudukan kita, semakin kuat juga angin yang melanda.”
“Untuk Bella juga, Aisha doakan semoga terus sihat dan kuat hadapi apa saja yang datang,” jelasnya penuh doa.
Selain itu, kami kongsikan artikel yang lain pada pautan di bawah.