Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Gara-gara mempersenda dan menjadikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak sebagai bahan lawak menerusi program OK CHOPE!, Najip Ali telah digugurkan sebagai juri tetap Maharaja Lawak Mega 2017. Bermula Jumaat ini, tempat Najip bakal digantikan dengan seseorang yang merupakan bekas pengkritik MLM.
Walaubagaimanapun, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad enggan memberikan sebarang pengesahan berhubung perkara berkenaan.
Buat masa sekarang pihak kami tidak mempunyai sebarang komen mengenai perkara ini.
Semalam, Presiden Persatuan SENIMAN, Zed Zaidi memberikan tempoh kepada Najip untuk membuat permohonan maaf terbuka sehingga hari Jumaat ini atau satu laporan polis akan dibuat terhadapnya jika beliau gagal melaksanakannya.
Enggan masalah menjadi lebih besar, Najip telah tampil memohon maaf semalam dan mengakui apa yang beliau lakukan itu salah dan tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.
Terdahulu, peserta rancangan berkenaan diminta melengkapkan ayat: “Najib slams … for threatening Malaysia’s progress“. Para peserta program itu termasuk Najip Ali, memberikan pelbagai jawapan yang dilihat menghina dan mempersendakan perdana menteri.