Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi nukilan penuh emosi dari dalam penjara. Dalam tulisannya, beliau menggambarkan suasana Subuh yang sunyi dengan azan sayup kedengaran dari kejauhan, seolah-olah memberi makna mendalam dalam kehidupannya ketika ini.
Tulisnya,
Dari kurungan sayup azan subuh kedengaran. Berlantaikan simen sejuk, tikar sejadah menjadi teman. Hati penuh luka. Duka. Redha. Bersama doa. 3 tahun berlalu.
Ungkapan itu menggambarkan bagaimana Najib menempuh hari-hari tahanan dengan doa, kesabaran dan kekuatan. Beliau turut mengakui beban berat yang ditanggung sepanjang tiga tahun, menyifatkan dirinya melalui perjalanan penuh cabaran dan ‘kezaliman’.
Najib menegaskan hatinya masih mencari keadilan, dengan sokongan doa daripada keluarga dan rakyat. Di penghujung tulisannya, beliau meninggalkan tanda tanya apabila menulis, “Saat itu pasti tiba. Bila…..”
Perkongsian tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong, sama ada ia merujuk kepada pembebasan, keadilan mahkamah atau sekadar luahan harapan seorang insan yang terkurung.