Pemandu bas yang terbabit dengan nahas ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 orang pelajar.
Memetik laporan Harian Metro, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle mengaku tidak bersalah terhadap 15 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM 53 Lebuhraya Timur-Barat pada 1.15 pagi, 9 Jun yang lalu.
Difahamkan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia turut didakwa atas satu lagi kesalahan iaitu memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh mengaku tidak bersalah dan jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum penjara hingga lima tahun, didenda antara RM5,000 hingga RM15,000, serta lesen memandu digantung sekurang-kurangnya lima tahun.
Dalam kejadian pada 9 Jun lalu, bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus utama UPSI, telah melanggar sebuah Perodua Alza di KM53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.
Kejadian tersebut mengakibatkan 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.