Nahas yang membabitkan sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak baru-baru ini mengejutkan seluruh negara.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Nurul Yusrina Yusof berkongsi detik getir selepas berlakunya kemalangan yang meragut 15 nyawa rakan-rakannya.
Rakan-rakan saya menjerit, ada yang tersepit, ada yang tak boleh keluar. Saya cuba bantu tapi saya sendiri dah cedera.

Kredit: BuletinTV3
Suasana malam yang sunyi dipecahkan dengan suara jeritan mangsa-mangsa dan ruang udara pula dipenuhi dengan bau hangit, pelajar-pelajar tersebut hanya mampu saling berpaut dan berharap mereka diselamatkan.
Kata Nurul Yusrina lagi, meskipun suasana di dalam bas ketika itu penuh dengan panik namun ramai yang masih mampu kawal emosi serta cuba membantu sesama sendiri.
Dah hidu bau hangit sebelum kemalangan
Siti Nur Najihah Shihabuddin, 21, pula berkongsi dia tersedar daripada tidur ketika saat bas tersebut berpusing-pusing dan bau hangit sudah dihidu sebelum kemalangan.
Masa tu saya nampak darah, semua tengah cuba selamatkan diri, tapi susah sebab bas dah terbalik.
Rakan cuba tarik kaki
Sementara itu, Rohadatul Aisy Mohd Zaki, 20, berkata dia mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan hampir tidak dapat bergerak.
Rakan saya cuba tarik kaki saya, tapi kaki saya memang tak boleh gerak. Kami semua takut kalau bas tu meletup.
Tambahnya, seorang rakannya iaitu Anish Sofia tidak sempat diselamatkan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.