Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memasang sebanyak 385 lampu jalan jenis solar di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, termasuk di kawasan lokasi nahas bas yang telah meragut nyawa 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah JKR Perak iaitu Ir Zamri Mat Kasim berkata, kemalangan yang berlaku pada awal pagi Isnin itu bukan berpunca daripada keadaan jalan yang gelap, sebaliknya kelajuan kenderaan seperti yang dilaporkan oleh pihak polis.

gambar hiasan
Difahamkan, keputusan pemberian tender bagi pemasangan lampu jalan itu dijangka diketahui pada Julai tahun ini.
Lampu jalan serta keadaan gelap bukan punca utama kemalangan. Kawasan tersebut juga telah mendapat peruntukan untuk diturap semula permukaan jalan serta garisan jalan.
Pemantauan terkini di tapak mendapati permukaan jalan dalam keadaan baik dan tiada lubang. Perabot jalan juga sempurna seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda.
Pasukan forensik Cawangan Jalan dari Ibu Pejabat JKR kini berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci dan menyediakan laporan lengkap berkaitan nahas tersebut.
Terdahulu, media melaporkan seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala 27 yang lain cedera dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.
Turut cedera dalam kejadian tragis itu ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berumur 54 tahun.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan hilang kawalan, terbalik, merempuh pembahagi jalan dan akhirnya melanggar sebuah Perodua Alza.