Penyanyi jelita, Linda Nanuwil yang pernah menyertai program realiti TV Gegar Vaganza mengakui perjalanan karier seninya agak sedikit perlahan namun tidaklah sampai tiada langsung tawaran menyanyi dan berlakon.
Linda yang merupakan anak kelahiran Ranau, Sabah itu memaklumkan bahawa dia kini masih aktif di dunia hiburan dan tidak terus ghaib daripada industri seni.
Dia dalam pada itu turut bersyukur kerana rezeki dalam bidang seni masih lagi berpihak kepada dirinya hingga ke saat ini.
Meskipun keberadaannya dalam industri ini seperti tenggelam timbul, namun realitinya dia tetap ada untuk terus menghiburkan peminat.
Perkembangan terkini, Linda khabarnya baru sahaja terlibat dengan sebuah konsert di Istana Budaya beberapa minggu lepas dan ia merupakan persembahan sulungnya selepas ‘dikurung’ berikutan perlaksanaan PKP.
Lina juga mengakui bahawa dia ada menerima pertanyaan mengenai sebab dia tidak lagi kelihatan di pentas nyanyian dan hanya melibatkan diri dalam lakonan di kaca televisyen.
Kalau ikutkan, nyanyian masih menjadi keutamaan dan sebagai mata pencarian utama. Lakonan hanya sebagai tambahan dan suka-suka. Tapi ada juga tawaran lakonan yang terpaksa ditolak kerana kekangan masa.
Meskipun begitu, Linda mengakui bukan mudah untuk dirinya bergerak solo dalam dunia seni namun bersyukur bakatnya masih diterima orang ramai sehingga ke hari ini.
Perkembangan terkini, Linda kini sedang giat mempromosikan lagu terbaru hasil ciptaan Ajai yang berjudul Ikhlaskan Hatimu di mana ia merupakan buah tangan sulung Linda setelah hampir 15 tahun ‘ghaib’ daripada dunia seni tempatan.