Pelakon, Nad Zainal berpendapat ia tidak menjadi masalah sekiranya ibu bapa zaman kini menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan.
Memetik dari OhBulan!, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, sekolah kerajaan telah membuktikan mampu melahirkan ramai individu yang cemerlang dan golongan profesional.
Saya rasa tak jadi masalah pun hantar anak ke sekolah kerajaan. Ahli keluarga saya semua pergi sekolah kerajaan. Suami saya pun lulusan luar negara bermula dengan sekolah kerajaan.
Saya tak nampak perkara ni sebagai satu masalah. Kita tak boleh memandang rendah kepada ibu bapa yang hantar anak mereka ke sekolah kerajaan atau sekolah yang yurannya lebih murah berbanding sekolah swasta.
Pendidikan terbaik mula dari rumah
Pelakon itu menambah, pendidikan terbaik untuk anak-anak adalah bermula dari rumah.
Saya dan suami memang tegas dalam pendidikan anak-anak. Kami hadkan penggunaan gajet dan televisyen. Sekiranya mereka berjaya membuktikan sesuatu atau meraih pencapaian yang bagus di sekolah, baru kita izinkan.
Kalau ada yang kata sekolah mahal (swasta) lebih bagus, pada saya itu tak betul. Kita kena didik sejak di rumah. Kalau bayar sekolah mahal-mahal tapi di rumah dan di sekolah tetap dimanjakan, tak jadi apa-apa.
Tak mahu pelajaran anak terganggu
Pelakon itu turut menjelaskan dia tidak mahu pelajaran anak-anak terganggu disebabkan terpaksa menanggung bebanan kewangan yang tinggi jika menghantar ke sekolah swasta.
Saya ini hanya pelakon biasa. Ada pasang surutnya. Kalau selamanya kita nak hantar anak ke sekolah swasta tapi di kemudian hari kita tak mampu, pelajaran anak akan tersekat.
Apa yang saya buat ini adalah di atas kemampuan dan saya lihat sekolah kebangsaan masih relevan. Ramai produk-produk daripada sekolah kebangsaan yang berjaya sambung belajar ke peringkat tertinggi dan menjadi golongan profesional yang hebat.
Sebelum ini, Nad Zainal berkongsi mengenai persoalan mengenai pilihannya untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan oleh peminat.
Aktres ini berkata sekolah kerajaan lebih jimat dan berpendapat bahawa didikan dan disiplin terbentuk di rumah dan bukannya tempat belajar.