Percaturan penyanyi Nabila Razali berjinak-jinak dalam dunia penulisan lagu ternyata tidak sia-sia apabila karya nukilan pertamanya berjudul Putus berjaya meraih perhatian ramai.
Single Putus tersebut dihasilkan bersama komposer Singapura iaitu Erwin Purnama dan kali ini dapat dilihat Nabila mempertaruhkan lagu balada yang cukup menyentuh hati serta lari daripada kebiasaan genre berentak rancak.
Saya teruja mencuba sesuatu yang baharu selepas lapan tahun bergelar penyanyi. Sudah masanya saya menerokai cabang baharu dalam muzik.
Nabila memberitahu bahawa single Putus itu dihasilkan kira-kira sebulan lalu dan dia berharap agar peminat dapat menerima lagu tersebut, lebih-lebih lagi ia sangat berbeza dengan lagu-lagunya yang terdahulu.
Tambah Nabila, dia mahu karya pertamanya itu menjadi kenangan manis buatnya serta lagu tersebut adalah hadiah istimewa buat peminat setianya yang melihat ketika jatuh dan bangunnya dalam industri seni.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, single Putus itu mengisahkan tentang sebuah percintaan yang berakhir dengan perpisahan dan mengakui karya tersebut mempunyai kaitan dengannya.
Ujar Nabila lagi, dia percaya semua orang pernah melalui kesakitan dalam percintaan ketika putus cinta dan dia juga tidak terkecuali merasai pengalaman tersebut.
Pengalaman lalu sedikit sebanyak membantu saya menyerap emosi ketika menyanyikan single Putus ini.
Susulan pengalaman itu, Nabila turut mengatakan yang tiada apa yang mampu dilakukan selain reda atas ketentuan takdir serta perlu teruskan hidup walaupun tanpa ada insan lain dalam hidup.
Sekadar info, single Putus menjadi lagu kedua diterbitkan Nabila Razali Entertainment edaran Universal Music dan ia boleh didengari di semua platform muzik sejak 19 November lalu.