Pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad mengakui tidak mampu untuk lupakan sampai bila-bila insiden tingkap kenderaan diketuk mangsa banjir yang kelaparan ketika menyertai misi bantuan sekitar kawasan Hulu Langat, Selangor.
Menurut Nabil, dia dan rakan-rakannya yang sedang dalam perjalanan menghantar makanan ketika itu terus tersentak apabila tingkap kereta diketuk sewaktu kenderaan berhenti akibat kesesakan lalu lintas.
Ketika sedang melintasi satu kawasan perumahan, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki diketuk mangsa banjir. Apabila membuka tingkap, mereka terkejut melihat saya.
Susulan kejadian tersebut, seorang lelaki telah bertanyakan kepada mereka adakah mereka mempunyai bekalan makanan yang boleh dimakan dengan segera kerana penduduk sudah kelaparan kerana semalaman tidak menjamah sebarang makanan.
Tambah Nabil, secara kebetulan mereka membawa 400 bungkus nasi untuk dihantar ke kawasan lain namun mereka kemudiannya singgah di taman perumahan lelaki itu untuk mengagihkan makanan kerana tidak sampai hati lihat keadaan lelaki tersebut.
Di situ, ada kira-kira 60 rumah yang belum mendapat apa-apa bantuan.
Berpeluang melihat depan mata keadaan kawasan yang ditimpa musibah, Nabil memberitahu yang dia gagal membendung air mata malah timbul keinsafan dalam dirinya dengan kekuasaan Allah SWT.
Nabil turut mengakui dia bertambah sayu apabila melihat kanak-kanak yang terpaksa duduk di luar rumah kerana kebanyakan rumah diliputi lumpur tebal sehingga ke paras lutut.
Ujar Nabil lagi, dia berharap agar nasib mangsa banjir akan lebih terbela kerana dia dapat melihat sendiri realiti yang perlu mereka lalui serta bukan mudah untuk membina semula kehidupan yang ranap.