Ingin memberi ruang kepada artis lain dan enggan juga dilabel sebagai syok sendiri, pengacara MeleTOP, Nabil Ahmad dan Neelofa membuat keputusan untuk menarik diri daripada pencalonan Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME 2019). Menurut Neelofa, keputusan itu sudah lama dibuat dan bukan atas desakan mana-mana pihak.
Sudah enam tahun kami bersama MeleTOP. Rasanya sudah tiba masa untuk kami memberikan peluang kepada orang lain dan fokus kepada pengacaraan saja.
Sekurang-kurangnya tidak akan timbul isu tuan rumah saja yang menang. Sejak tahun lalu sudah timbul isu ini dan banyak kritikan yang kurang menyenangkan diterima apabila menang sebelum ini sedangkan fokus saya hanya mengacara.
Nabil pula berkata, pada awalnya beliau agak bimbang dengan penerimaan peminat terhadap keputusan itu tapi beliau dan Neelofa mahukan persaingan yang sihat dan tidak mahu dikecam selepas mendapat anugerah.
Bagaimanapun, Nabil dan Neelofa masih lagi kekal sebagai pengacara AME 2019 dan disertai oleh Jihan Muse. AME 2019 bakal bersiaran secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 21 April depan.
Harapnya selepas ini netizen tidak akan lagi mengecam dan mempertikaikan mengapa kedua-dua hos mendapat pencalonan yang banyak dan memenangi anugerah dalam AME.