Keluaran Perodua Myvi yang terbaru akhirnya dilancarkan di Singapura. Pelancaran ini berjaya disambut baik oleh lebih 250 pelanggan di Perocom Auto di Ubi, Singapura.
Sebanyak dua variasi ditawarkan iaitu 1.3X AT serta model dengan spesifikasi lebih tinggi iaitu 1.5H AT.
Apa yang mungkin mengejutkan pasti harga Perodua Myvi yang ditawarkan di Singapura untuk model 1.3X AT ditawarkan pada harga S$64,800 (RM197,093) manakala 1.5H AT berharga S$69,800 (RM212,301). Harga yang dinyatakan termasuk GST serta cukai yang diletakkan Singapura.
Menurut pengarah urusan Perocom Auto, John Ng penerimaan Perodua Myvi yang tinggi di Malaysia sekaligus menunjukkan indikasi bahawa model ini bakal turut berjaya dengan pelancarannya di Singapura.
Untuk pengetahuan, sejak mula diperkenalkan di Malaysia Perodua telah berjaya menjual sebanyak 110,000 unit Myvi generasi terbaru setakat ini. Pada tahun lalu Perodua telah melancarkan Myvi di Indonesia namun model tersebut dijenamakan sebagai Daihatsu Sirion.
Agak menarik untuk menyaksikan bagaimana prestasi penjualan kereta ini di Singapura. Nampaknya selepas ini lebih banyak Perodua Myvi bakal menghiasi jalan raya di Singapura.
Tahniah Perodua kerana berjaya memasuki pasaran Singapura.