Kecoh di media sosial sejak beberapa hari ini apabila ada pihak yang mendakwa data pengguna aplikasi MySejahtera telah ‘dijual’ kepada syarikat swasta.
Ini berikutan pendedahan beberapa individu mengenai data pengguna seperti alamat, nombor kad pengenalan yang diambil daripada ‘database’ aplikasi itu yang didagangkan sekitar RM900 sehingga RM7,000 untuk setiap maklumat.
Ia sekaligus mendatangkan kebimbangan dalam kalangan rakyat yang sememangnya diwajibkan mendaftar dan memiliki aplikasi itu dalam telefon bimbit masing-masing semenjak wabak pandemik melanda dunia.
Sebentar tadi, Menteri Kesihatan menerusi kenyatan Menterinya iaitu Khairy Jamaluddin tampil membuat kenyataan media di mana dia ada menjawab persoalan berkaitan perkara tersebut.
MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dengan KKM sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima MySj. Kerahsiaan data adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi. pic.twitter.com/DcRCID0vXb
— Khairy Jamaluddin ??? (@Khairykj) March 27, 2022
Kenyataan yang dimuat naik KJ menerusi akaun Twitternya itu menjelaskan bahawa data dan maklumat peribadi pengguna MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai pemilik utama.
KKM ingin menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta.
Selain itu, kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd. yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera.
Jelas KJ lagi, kenyataan itu turut bertujuan menjawab kenyataan media yang dibuat YB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim yang membahaskan mengenai penjualan aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta.
Katanya lagi kerahsiaan data pengguna di aplikasi tersebut adalah terjamin dan KKM juga akan sentiasa memastikan aspek tersebut tidak dikompromi mana-mana pihak.