Namun, disebalik pengumuman tersebut, penyanyi Mya Matahari telah meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila beliau mendakwa dirinya diperkotak-katikkan oleh pihak Astro yang memberitahu beliau akan mendapat peluang untuk beraksi di pentas Gegar Vaganza.
Jelas Mya, sejak dari musim ke 2 lagi beliau diberikan harapan palsu apabila diminta untuk menyertai uji bakat tetapi tidak pernah tersenarai dalam pertandingan berkenaan.
Jangan buat diri saya macam tak ada nilai. Sejak Gegar Vaganza musim kedua (GV2), produksi Astro panggil saya untuk diujibakat dan ketika itu nama saya disebut-sebut sebagai peserta. Namun, apabila nama peserta diumumkan, saya tiada dalam senarai. Pihak produksi tak beritahu pun sehingga saya terpaksa menghubungi mereka.
Menurut Mya lagi, pada sesi ujibakat GV3 sekali lagi dia dipanggil dan perkara sama berulang.
Sekali lagi nama saya digembar-gemburkan kononnya ada dalam senarai peserta GV3 hingga ramai rakan artis bertanya bila keputusan akan diumumkan. Tiba-tiba Astro sudah umumkan 12 peserta.
Saya tidak kecewa jika sudah tertulis tiada rezeki tetapi terkilan kerana Astro tidak menghubungi saya untuk maklumkan terpilih atau sebaliknya. Saya masih ada harga diri.
Pernah juga satu ketika dimana Mya diundang untuk berduet dengan perserta Gegar Vaganza 2 yang berjaya ke final tetapi selepas lagu diberi dan baju siap ditempah, Astro beritahu tak jadi dengan alasan peserta itu sudah ada calon pilihan.
Nama Mya juga pernah digugurkan daripada diundang untuk menyanyi di acara karpet merah Gegar Vaganza 2 bersama Zur Eda dan Zarul Umbrella.
Merupakan seorang penyokong tegar program berkenaan sebelum ini, Mya bagaimanapun sudah tawar hati dan enggan lagi menghadirkan diri setiap minggu untuk menonton Gegar Vaganza.
Janganlah berkecil hati dan mengalah, mungkin belum ada rezeki lagi untuk menyertai Gegar Vaganza. Cubalah berbincang secara elok-elok dengan pihak Astro, siapa tahu di musim hadapan Mya akan berpeluang untuk menjadi peserta Gegar Vaganza.