Penyanyi yang kini menjadi bualan ramai iaitu 44 Airel menerima segala teguran yang diberikan oleh orang ramai dengan hati yang terbuka selepas pelancaran muzik video lagu terbarunya iaitu ‘Sempurna’ didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam.
Memetik laporan OhBulan!, Airel Mohamad Jordan menjelaskan bahawa muzik video tersebut hanya menggambarkan situasi yang berlaku pada masyarakat kini.
Saya terima teguran itu dengan hati yang terbuka dan mengambil dari sudut positif.
Saya masih muda dan masih belajar. Saya tiada niat nak popular dengan cara sebegini. Ia hanyalah lakonan semata-mata.
Mengulas lanjut, Airel berkata dia memilih untuk merekodkan muzik video di kelab malam kerana ia berkait rapat dengan lirik lagu.
Menurutnya, kelab malam bukanlah satu perkara yang pelik pada masa kini. Malah, ia kerap ditayangkan menerusi filem dan televisyen.
Bagi saya, gambaran sisi gelap seperti itu bukan perkara baru dalam dunia seni. Ada juga babak seperti itu ditayangkan dalam filem.
Syaa hanya mencuba perkara baru iaitu dengan memaparkan sisi gelap itu dalam muzik video.
Selama lima tahun saya tak pernah berputus asa keluarkan lagu, jadi apabila lagu ini tular ia mengajar saya untuk jangan pernah putus berharap.
Penyanyi itu turut meluahkan rasa syukur kerana menurutnya segala penat lelahnya akhirnya terbayar.
Sebelum ini, Airel menjadi bualan orang ramai selepas seorang pendakwah bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed menyifatkan muzik video tersebut sebagai keterlaluan dan tidak wajar ditayangkan kepada umum.