Ahli perniagaan, Muazaffar Jakel tampil melakukan satu permohonan maaf menerusi akaun Instagram miliknya semalam. Di dalam video berdurasi hampir 12 minit itu, dia menjelaskan perkara sebenar yang berlaku berikutan isu yang tular membabitkan dirinya di media sosial.
Sebelum ini, Muzaffar telah dikaitkan mencetuskan sentimen perkauman menerusi salah satu perkongsian yang dimuatnaik di akaun Instagramnya itu. Dia didakwa telah merendahkan orang Melayu yang dikatakan gagal memahami SOP membenarkan premis perniagaan kembali dibuka.
Perkongsian IG Story nya itu telah mencetuskan kemarahan netizen terutamanya dari kalangan pelanggan setia gedung tekstil terkemuka di Malaysia itu. Kecaman ini turut membawa kepada isu boikot yang hangat diperkatakan oleh netizen di media sosial kini.
Di dalam permohonan maaf itu, Muzaffar menjelaskan perkara sebenar kerana menurutnya kenyataannya itu telah dimanipulasikan oleh beberapa pihak. Dia turut menceritakan kronologi sebenar yang berlaku sebaik sahaja kenyataan menerusi IG Story nya itu dimuatnaik.
“Tiada niat nak racist.”
View this post on Instagram
Muzaffar menjelaskan selepas dia memuatnaik perkongsian IG Story nya itu, dia telah menerima pelbagai mesej dalam bahasa yang kasar mengutuk kenyataannya itu. Dia juga menjelaskan isu seorang wanita yang menurutnya telah menggunakan gambar dan status dimuat naiknya sebelum ini untuk memainkan isu perkauman.
Sedangkan saya sendiri Melayu, saya pun tiada terniat. Saya sendiri pun tak boleh fikir saya hari-hari jumpa customer yang membeli dengan saya, layan sendiri customer, takkan tergamak saya nak main isu perkauman kan?
Menyedari kenyataannya itu telah menjejaskan perniagaan milik keluarganya, dia menegaskan ianya adalah kenyataan peribadi dan tidak melibatkan keluarga mahupun syarikat mereka. Dia turut meminta orang ramai yang masih marah tentang isu ini untuk hanya menghalakan kemarahan itu padanya dan bukan pada syarikat.
Di dalam satu perkongsian lain, dia turut mendedahkan komen palsu yang dikatakan kononnya adalah komen daripada syarikat Jakel sendiri. Menerusi paparan yang dikongsikan, komen tersebut mengandungi unsur perkauman dan ianya bukanlah daripada pihak Jakel sendiri.
“Ni satu fitnah dan mana mungkin Jakel beri komen mcm ini. Fake!”
Selain daripada permohonan maaf ini, Muzaffar turut berkongsikan gambar sijil kelahirannya dalam satu perkongsian lain. Walaupun tidak dapat dipastikan apakah tujuannya, tetapi mungkin kerana dia mahu menjelaskan latar belakangnya yang juga merupakan orang Melayu.
Sementara itu, dia juga telah membuat satu laporan polis terhadap wanita yang dikatakan telah menimbulkan fitnah dengan memanipulasikan kenyataan asalnya. Muzaffar turut mencabar wanita tersebut untuk membuat laporan yang sama sekiranya benar itu adalah kesalahan daripadanya.