Fenomena panas melampau mengakibatkan lebih 800 ekor ayam mati di seluruh Selangor sekali gus menjejaskan kadar pengeluaran dan meningkatkan harga jualan.
Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor, Datuk Ishak Mat Arif berkata penternak mengeluh selepas tiada apa yang boleh dilakukan selain berhadapan kerugian akibat hasil ternakan yang mati.
“Ternakan mati dalam tempoh antara lima hingga lapan hari sebelum cukup matang untuk dibekalkan. Bayangkan jumlah kerugian yang dialami penternak sekiranya 800 ayam mati setiap hari.
“Melalui pengamatan saya, industri penternakan ayam di negara kita tidak pernah mengalami masalah seperti ini. Kami jangka kadar pengeluaran ayam akan terus merudum sekiranya cuaca panas berlarutan,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.
Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan cuaca panas menyebabkan ayam mengalami stres sekali gus menyebabkan proses tumbesaran terbantut.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pengeluaran ayam berkurangan antara lima hingga 10 peratus dan kerajaan bersedia mengimport ayam sekiranya bekalan dalam negara tidak mencukupi menjelang bulan Ramadan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APC Nature Farm Sdn. Bhd, Mohd. Afiq Arif berkata, pihaknya telah memberhentikan operasi menternak ayam buat sementara waktu dan akan hanya menternak semula apabila cuaca kembali normal.
“Pengeluaran ayam di kebanyakan tempat mengalami masalah kerana cuaca panas yang turut menyebabkan ternakan mudah terkena penyakit.
“Ternakan ikan juga mengalami masalah yang sama, saya terpaksa membuat pemindahan ikan ke dalam tangki berlainan bertujuan mengawal suhu air untuk ikan serta mengelakkan ia mati,” katanya.