Kerap kali hujung tahun di negara kita dikaitkan dengan bencana banjir berikutan peralihan musim monsun Timur Laut namun sejak beberapa tahun ini, ia dilihat semakin membimbangkan malah meragut ramai nyawa.
Meskipun julat kejadian adalah rendah, namun tidak dapat disangkal antara penyumbang kepada mangsa musim hujan dan tragedi ini adalah kerana ramai ibu bapa membawa anak masing-masing bercuti ke kawasan berpotensi tinggi seperti laut, air terjun dan sebagainya.
Menurut Pakar Meteorologi Universiti Malaya, Profesor Datuk Azizan Abu Samah, ibu bapa kini perlu peka dengan keadaan cuaca terutamanya pada musim cuti sekolah hujung tahun kerana kita lebih terdedah kepada bencana alam ketika percutian di kawasan berisiko tinggi.
Datuk Azizan dalam pada itu turut memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk membawa cuti sekolah panjang ke bulan Jun, Julai atau September dan bukannya bulan Disember.
Mengambil contoh negara United Kingdom, para pelajar di sana mula bercuti pada musim panas kerana cuaca yang lebih selesa dan kurang berisiko kepada bencana.
Terdahulu, kejadian tanah runtuh di Batang Kali turut menyaksikan guru dan murid-murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mun Choong terlibat dalam insiden menyayat hati itu.
Namun begitu, perkhemahan yang dianjurkan itu bukanlah anjuran pihak sekolah tetapi persendirian. – Astro Awani