Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang pernah dipukul guru sekolahnya, menang tuntutan saman di Mahkamah Tinggi, Shah Alam hari ini.
Mahkamah memerintahkan bekas gurunya itu untuk membayar ganti rugi RM90,000 kerana memukul remaja tersebut ketika berusia 8 tahun menggunakan penyapu.
Kejadian yang berlaku pada tahun 2019 lalu telah menyebabkan mangsa mengalami pendarahan yang banyak dan menerima lima jahitan di kepala.
Remaja itu selaku plaintif diwakili bapanya, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41, memfailkan saman terhadap bekas guru wanita berusia 60 tahun yang dinamakan sebagai defendan pertama.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan saman yang dikemukakan remaja itu terhadap tiga pihak termasuk guru besar sekolah sama dan kerajaan Malaysia.
Mahkamah berpendapat bahawa tindakan defendan menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mengikuti arahan dianggap tidak dialu-alukan pada era ini. Insiden kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah. Ia diharap menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi.
Terdahulu, guru wanita tersebut mengatakan mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduknya ketika sesi pembelajaran dalam kelas. Bagaimanapun, Hazizah berkata alasan itu disifatkan sebagai tidak munasabah, bercanggah undang-undang dan tidak berperikemanusiaan, selain mangsa mendakwa ketiga-ketiga defendan cuai dan menuntut ganti rugi am, khas, teladan serta teruk serta permohonan maaf secara bertulis.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.