Tidak kira kecil, besar, tua mahupun muda semua mengetahui pencuci mulut yang manis dan sejuk ini, aiskrim. Lagi enak jika aiskrim dinikmati ketika hari yang panas. Nikmat yang tidak terkata. Namun, mungkin ada yang masih belum mengetahui aiskrim bukanlah sekadar pencuci mulut semata.
Ada sejarah yang tersendiri mengenai aiskrim yang berlaku bermula pada zaman pemerintahan Rom. Sedikit fakta menarik mengenai pemanis mulut kegemaran dunia ini kami kongsikan buat tatapan anda.
Di mana asal usul aiskrim
Tiada siapa yang dapat menjelaskan asal-usul sebenar pencuci mulut ini. Namun, terdapat beberapa versi kedatangan aiskrim seperti sesetengah sejarawan berpendapat Marco Polo merupakan individu pertama yang memperkenalkan aiskrim kepada Eropah.
Menurut rekod, Marco Polo telah mempelajari resepi cara pembuatan aiskrim dari China. Masyarakat di sana telah menyajikan nasi dan susu bersama salji yang telah diperisakan dan dijadikan sebagai pencuci mulut.
Di samping itu, ada juga yang berpendapat Maharaja Nero semasa zaman pemerintahan Rom Purba gemar untuk mencampurkan salji dengan buah dan madu. Malah, baginda juga sering menghantar orang suruhan untuk mengambil salji di pergunungan.
Kon wafel tercipta tanpa sengaja
Seorang penjual aiskrim yang menyertai pesta dunia di St. Louis, Missouri pada tahun 1904 dan telah kehabisan kon aiskrim kerana menerima terlalu ramai pelanggan.
Kerana terdesak, penjual aiskrim tersebut telah pergi ke gerai wafel yang berhampiran dan bersama-sama menghasilkan kon wafel untuk dihidangkan bersama aiskrim. Idea tersebut akhirnya diterima hingga ke hari ini.
Resepi aiskrim yang pertama agak memeranjatkan
Resepi pertama aiskrim telah ditulis dengan tangan oleh seorang bangsawan Inggeris, Lady Anne Fanshawe pada sekitar tahun 1668. Nama resepi aiskrim yang diberi nama icy cream ternyata mempunyai ramuan yang agak meloyakan jika dibaca dengan teliti.
Berdasarkan resepi Lady Anne, krim perlu direbus bersama-sama pala (nutmeg) untuk menghasilkan aiskrim. Untuk penambahan perisa, bangsawan tersebut telah memasukkan bunga oren atau boleh juga dicampurkan dengan ambergris bersama-sama gula.
Ambergris ialah bahan yang terhasil di dalam usus sperma paus. Bahan ini apabila diluahkan mempunyai tekstur seperti muntah. Zaman dahulu, ambergris banyak digunakan dalam pembuatan lilin dan minyak wangi.
Antara vanila atau coklat, perisa mana yang dicipta dahulu?
Pernahkah anda tertanya-tanya, perisa aiskrim manakah yang diciptakan dahulu? Majoriti individu akan menjawab vanila apabila soalan ini diajukan.
Namun begitu, jawapan sebenarnya adalah coklat. Sekiranya anda penggemar coklat, fakta ini pasti akan membuat anda tersenyum lebar!
Aiskrim ialah makanan warga kelas atasan
Aiskrim dianggap sebagai satu hidangan pemanis mulut yang ekslusif dan hanya boleh dinikmati oleh golongan elit. Sehinggalah pada lewat tahun 1800-an, status makanan ini kekal seperti ini.
Mengapa hanya golongan elit yang dibenarkan makan aiskrim? Ini kerana hanya meraka sahaja yang mampu untuk menbayar harga bahan aiskrim yang diimport serta penyimpanan aiskrim di dalam tempat sejuk.
Zaman sekarang segala jenis penciptaan makanan seperti sudah diwajibkan untuk diletakkan keju sebagai bahan untuk menarik perhatian pelanggan. Yang anehnya, berduyun-duyun manusia pula sanggup untuk mendapatkan makanan viral tersebut. Selagi tidak dicuba makanan tersebut, selagi itulah perasaan ingin tahu itu membuak-buak.