Pelakon Diana Danielle menegaskan dia tidak mengetahui sebarang dakwaan yang mengaitkan bekas suaminya, Farid Kamil, dengan laporan penahanan seorang aktor popular yang disyaki terbabit dalam kes penyalahgunaan dadah baru-baru ini.
Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu menegaskan pendiriannya untuk mendoakan yang terbaik buat Farid, selain berharap hubungan keibubapaan mereka kekal baik demi kebajikan anak-anak selepas berpisah.
“Okay, sebenarnya, saya ditanya wartawan beberapa hari lalu, tetapi, saya memang tidak tahu apa-apa. Apa yang saya boleh cakap, saya doakan yang terbaik. Saya doakan semoga kita semua, saya dan dia dapat orang kata ‘co-parenting’ dengan baik.
“Itu saya punya matlamatlah. Apa yang boleh saya katakan, saya mendoakan yang terbaik untuknya (bekas suami). Saya mahukan yang terbaik buatnya. Saya sentiasa mahu dia berjaya dan terus maju dalam hidup,” katanya ketika ditemui pada sesi eksklusif Numinara bersama media, hari ini.
Menurut Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, kebahagiaan serta masa depan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang diambilnya.
“Apabila kita sama-sama dapat membesarkan anak dengan baik, akan jadi perkara yang baik untuk anak-anak. Jadi, saya pun tidak boleh hendak komen dengan lebih lanjut sebab saya pun tidak tahu apa yang berlaku.
“Tetapi, disebabkan saya ditanya, saya hanya jawab saya tidak tahu. Kalau apa-apa pun, saya harap semua itu tidak betul,” katanya.
Mengulas sama ada Farid ada melawat anak mereka, Muhammad, yang kini sedang menerima rawatan di hospital, Diana menjelaskan bekas suaminya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa.
Terdahulu, BH Online melaporkan polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan seorang pelakon lelaki yang ditahan berhubung kes dadah, minggu lalu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
