Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pengesahan tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mengesahkan perkara itu secara ringkas kepada Harian Metro.
“Benar (Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN),” katanya.
Difahamkan, Muhyiddin telah memaklumkan peletakan jawatan itu menerusi kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti pada jam 10.30 malam tadi.
Peletakan jawatan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan tekanan dan desakan daripada beberapa pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN, susulan krisis politik yang berlaku di Perlis baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, memaklumkan bahawa Muhyiddin sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu langkah yang bijak dan tepat, khususnya ketika PN memerlukan momentum baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya yakin PAS akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baru.”
“Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah Perikatan Nasional,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut berpandangan bahawa rombakan organisasi dalam PN hampir pasti dilakukan bagi memberi fokus yang lebih jelas terhadap gerak kerja gabungan itu selepas ini.
“Tahniah Tan Sri Muhyiddin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi PN yang baru,” katanya lagi.
Sebelum ini, landskap politik Perlis dilanda kemelut apabila timbul dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS dan BERSATU telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, menyatakan penarikan sokongan terhadap ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Tiga ADUN PAS yang terlibat ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji), sebelum keahlian mereka dalam parti berkenaan digugurkan. Pada Khamis lalu, Mohd Shukri kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis atas alasan kesihatan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

