Mufti Pulau Pinang Desak Haramkan Pokemon Go

Trending

Mufti Pulau Pinang Desak Haramkan Pokemon Go

Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mendesak aplikasi permainan realiti berperantara Pokemon Go diisytiharkan sebagai haram, serta-merta.

Advertisement

Wan Salim berkata satu kajian dibuat Jabatan Mufti menunjukkan aspek negatif permainan itu melebihi aspek positif.

“Oleh itu, kami berharap Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengharamkan permainan itu secepat mungkin,” katanya dipetik berkata kepada Sinar Harian.

Pokémon Go permainan baharu telefon pintar direka syarikat Niantic Incorporation daripada Nintendo Amerika Syarikat (AS) dibangunkan untuk peralatan iOS dan Android.

Menggunakan GPS dan kamera telefon pintar, permainan percuma itu membolehkan pemainnya menangkap, berlawan dan melatih makhluk maya digelar Pokemon, yang akan muncul di skrin telefon seolah-olah ia wujud di dunia nyata.

Wan Salim berkata ada pelbagai kaedah dalam Islam yang boleh digunakan untuk mengharamkan permainan itu, seperti sadda azzara’i, dar’ul mafasid, maslahah ‘ammah dan sebagainya.

Katanya, ia bagi menyekat pintu kerosakan di samping memelihara kesejahteraan awam.

“Walaupun pada dasarnya sesuatu perkara itu dihukum harus sehingga terdapat nas Al-Quran atau Sunnah yang menyatakan sebaliknya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis akan memantau permainan itu, bagi melihat sama ada ia menyebabkan ancaman keselamatan, sebelum membuat keputusan untuk mengharamkannya atau tidak.

Indonesia baru-baru ini mengharamkan permainan itu dalam kalangan kakitangan awamnya sementara tokong Shinto Izumo-taisha di Jepun, melarang pelawatnya bermain Pokemon Go dalam premisnya.

Menteri Komunikasi dan Maklumat Singapura Yaacob Ibrahim juga dipetik sebagai berkata kebaikan dan keburukan permainan itu perlu dikaji dengan teliti sebelum sebarang keputusan diambil.

Kelab bola sepak gergasi Manchester United juga melarang pemainnya bermain permainan itu sebelum perlawanan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kepada Bernama, Malaysia tidak membantah atau menghalang kemasukan aplikasi permainan Pokemon Go ke negara ini.

“Walaupun di sesetengah negara mungkin ada yang menghalang tetapi kita di Malaysia…kita belum sampai ke tahap itu,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...