Selalu memuat naik foto mesra bersama aktor Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila yang juga kakak kepada Neelofa menafikan beliau syok sendiri seperti mana yang dikatakan oleh beberapa pihak. Malah Noor Nabila  memberitahu hubungan mereka yang sudah terjalin selama lima bulan itu dibina atas keikhlasan hati kedua-dua belah pihak. Ewah!
Saya sedar bila saya muat naik gambar kami bersama ramai pengikut laman sosial menyifatkan saya hanya syok sendiri sedangkan hubungan istimewa yang terjalin antara kami adalah lahir secara ikhlas. Saya pernah beritahu dia kalau ada wartawan bertanya tentang hubungan ini, saya akan berterus terang dan tidak mahu orang beranggapan saya hanya syok sendiri.
Walaupun semua orang sudah tahu status sebenar hubungan mereka, Sharnaaz bagaimanapun enggan mengakui mereka bercinta. Berhubung perkara itu, Noor Nabila faham akan tindakan Sharnaaz kerana kekasihnya itu tidak mahu perkara yang lepas dalam percintaan berulang lagi.
Buat masa ini kedua-duanya selesa untuk berkawan dan masih belum mempunyai sebarang rencana untuk berkahwin meskipun Noor Nabila dan Sharnaaz sudah bertemu dengan ahli keluarga masing-masing.
Saya faham kenapa dia tidak mahu bercakap tentang hubungan kami kerana dia sudah serik dan tidak mahu jadi seperti hubungan sebelum ini. Sharnaaz tidak mahu keluarga menanggung malu kalau hubungan tersebut tidak menjadi.
Dia dah berjumpa semua ahli keluarga saya termasuk nenek saya dan saya sudah berjumpa dengan ibu, bapa dan abang dia, namun belum ahli keluarga lain. Buat masa ini kami belum ada perancangan ke peringkat seterusnya, Insya-Allah kalau ada jodoh mungkin saya akan berjumpa seluruh keluarga dia.
Pada masa yang sama, Noor Nabila menafikan beliau adalah punca hubungan Sharnaaz dan Anis Al-Idrus retak. Mereka pada mulanya berkawan atas tujuan bisnes dan pada waktu itu Sharnaaz baru sahaja berpisah dengan Anis.
Pernah berkahwin sebelum ini dan bercerai, Noor Nabila akui merasa sedikit terkilan apabila ada pihak yang mempersoalkan status beliau sebagai seorang janda.
Saya faham bila hubungan kami jadi perhatian, status saya sebagai janda juga dipersoalkan segelintir pihak, namun bukan saya yang minta untuk jadi janda, ia semua takdir Allah.
Biasalah manusia ini memang suka cari kesalahan orang lain, tidak salah pun untuk mereka yang berstatus janda berpasangan dengan lelaki yang bujang. Harapnya hubungan Noor Nabila dan Sharnaaz Ahmad kekal sehingga jinjang pelamin. Tidak kami nafikan mereka agak sepadan bersama.