Bintang bola sepak Jerman, Mesut Ozil baru-baru ini mencuri tumpuan netizen apabila dia ada memuat naik sekeping gambar animasi dirinya berdoa dengan berlatar belakangkan foto Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar di akaun Instagram miliknya.
Ozil yang merupakan seorang pemain bola sepak profesional yang kini bermain untuk kelab Turki, Fenerbahce menulis kata-kata berbaur harapan dan kesyukuran terhadap Allah S.W.T dalam hantarannya itu.
Ianya sekaligus menjadi bahan perbualan netizen Malaysia terutamanya yang rata-rata teruja dengan perkongsian Ozil.
Sebelum ini, Ozil pernah memuat naik gambar Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sekitar bulan Mac tahun 2021 di Instagram miliknya.
Untuk rekod, pemain bola terkenal dunia itu kerap memuat naik gambar-gambar masjid ikonik lain di seluruh pelusuk dunia.
Dia juga merupakan salah seorang ikon bola sepak yang cukup lantang menyuarakan isu-isu kemanusiaan yang melibatkan komuniti Islam di seluru dunia.
Malah, dia juga pernah disisihkan oleh kelab Arsenal kerana keterbukaannya membela nasib etnik Uighur di Cina yang didakwa telah ditindas oleh kerajaan di sana.