Pelawak dan personaliti TV, Ebby Yus memohon doa orang ramai agar kesihatannya bertambah baik dan tidak memburuk selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan masalah paru-paru berair sejak empat hari yang lalu.
Ujar Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid,56, dia baharu sahaja menjalani ujian imbasan sinar-X dan masih menunggu keputusan daripada doktor.
Keadaan sekarang okey. Doktor cuma cakap paru-paru saya ada air dan setakat ini, saya perlu ditahan di hopsital untuk rawatan lanjut.
Harap-harap keputusan imbasan nanti ‘bersih’. Kalau tidak, besar kemungkinan, paru-paru kena cucuk atau tebuk untuk keluarkan air bagi mengelakkan apa-apa jangkitan yang lebih teruk.
Maklum Ebby, dia tidak mahu meraih simpati namun berharap sepenuhnya kepada kuasa Ilahi bagi menghadapi dugaannya kali ini.
Reda dengan takdir Allah, pelakon sitkom Simpang Tiga ini percaya apa yang berlaku dalam kehidupan seseorang mengandungi hikmahnya yang tersendiri.
“Saya reda dengan takdir Allah. Tapi saya reda bukan bermakna saya berpeluk tubu. Saya percaya apa yang berlaku, ada hikmahnya.” katanya lagi.
Terdahulu, Ebby merupakan selebriti yang terkesan teruk akibat tragedi banjir yang berlaku baru-baru ini di mana rumahnya yang masih dalam pembinaan telah lenyap dibawa arus banjir di Hulu Langat, Selangor.
Berikutan peristiwa itu, Ebby terpaksa menanggung kerugian mencecah hampir RM200,000.