Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan media bahawa kerajaan akan mengehadkan pembelian petrol RON95 kepada sekali sehari, lapor Majoriti.
Menurut kenyataan rasmi, langkah itu tidak pernah dirancang dan bercanggah dengan matlamat program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diwujudkan untuk memastikan rakyat mendapat akses berterusan kepada bahan api bersubsidi.
“Kerajaan memang sedang mengkaji kaedah mengelakkan penyalahgunaan subsidi, namun cadangan had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan BUDI95,” menurut kenyataan MOF.
Kementerian menegaskan pengguna tidak perlu bimbang kerana program ini bertujuan membantu rakyat menikmati harga subsidi secara adil dan konsisten.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik pada hari pelancaran BUDI95. Katanya, harga bersubsidi RM1.99 seliter tetap terjamin bagi penerima yang layak.
Bagi mengurangkan kesesakan di stesen minyak, kumpulan tertentu termasuk anggota tentera, polis dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diberi akses awal untuk menggunakan subsidi tersebut. “Tiada sebab untuk tergesa-gesa, walaupun tangki separuh penuh, anda boleh isi pada bila-bila masa selepas 30 September,” jelasnya.