Seorang pemuda yang juga Youtuber New Zealand menghasilkan sebuah Lamborghini kadbod dan berjaya dilelong dengan nilai AS$10,420 (RM43,165).
Lebih menarik, hasil jualan itu bukan untuk kegunaan diri sendiri malah ia akan disumbangkan kepada badan kebajikan Hospital Starship Children di Auckland.
Menurut pemuda yang dikenali David Jones, kenderaan dinamakan Cardborghini Adventapoor yang diperbuat daripada bahan asas kadbod itu berukuran 1.65 meter (m) lebar dan panjangnya, 3.78 m.
Tambahnya, hospital tersebut menjadi pilihannya menyalurkan sumbangan kerana pernah mendapatkan rawatan barah ketika usianya 14 tahun.
“Kakitangan di sana semua cool dan mereka menjaga saya dengan baik”.
“Saya tak mampu membeli dan tidak mungkin ada orang mahu menyewakan Lamborghini kepada orang yang berusia 22 tahun macam saya ini”.
Dia berkata kepada Stuff.co.nz, itu membuatkannya terfikirkan idea sebegitu. Cardborghini dibuat secara dua peringkat di mana bahagian badannya mengambil masa seminggu dan bahagian rangka pemanduan seminggu lebih. Kenderaan itu diuji menggunakan roda basikal sebelum dipasang dengan roda kadbod.
“Saya tak sangka dapat sambutan luar biasa macam ini, sedangkan saya cuma jangka ia dapat dijual sekitar AS$50 (RM207)”.
Video perkongsian projek Jones itu dimuat naik di media sosial dan meraih lebih sejuta kali tontonan dan rata-rata juga netizen kagum dengan niat murni anak muda itu.