Rezeki penyanyi rap yang kini bergelar pelakon, MK K-Clique belum tersekat walaupun terpalit dengan kontroversi enggan memberi kerjasama mempromosikan filem Marabahaya Underground baru-baru ini.
Perkara tersebut sekaligus memberi ruang kepada MK untuk terus berusaha mengembangkan sayap seninya dalam dunia lakonan.
Saya bersyukur rezeki dalam bidang lakonan masih lagi luas.
Bagi saya, kontroversi lalu tidak mencalarkan atau merosakkan imej. Saya percaya rezeki sudah ditetapkan.
Menurut MK, setiap orang yang bertanya kepadanya sudah tahu situasi sebenar bagi isu enggan memberi kerjasama mempromosikan filem tersebut sekaligus tidak memberikan reputasi buruk padanya.
Dalam pada itu, MK mengakui yang dia menerima banyak peluang dalam bidang lakonan dan baginya sendiri, dia serius terhadap dunia lakonan sebagai tanda menghargai peluang yang diberikan.
Tambah MK, dia akan bersungguh-sungguh mengambil peluang yang diberikan dalam dunia lakonan untuk membuktikan bakatnya kerana minat dan kesungguhan tersebut lahir daripada jiwanya sendiri.
Sebagai bukti, MK bukan sahaja merancang untuk menghadiri lebih banyak kelas lakonan pada tahun hadapan malah dia sedang mempelajari menguasai bahasa Malaysia dengan betul.
Sekadar info, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan mengulas lanjut perkara tersebut pada sidang media drama terbaharu, Oh My Hantaran iaitu sebuah drama 20 episod arahan Shuhaimi Luar terbitan Tanah Beris Film Production.