Penyanyi rap MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan, 29, tampil bersuara mengenai isu buli yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Mengimbau zaman persekolahan, MK mengakui dia pernah merasai kedua-dua sisi, iaitu menjadi mangsa dan juga pelaku buli. Bagaimanapun, katanya, budaya buli ketika itu tidak seteruk sekarang. Jelasnya,
Saya ada pengalaman membuli dan dibuli. Tapi waktu itu kita membuli bukan tahap seperti apa yang berlaku sekarang ini. Dulu paling kuat pun ejek nama bapa, bukannya sampai tahap mencederakan orang lain.
MK berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pembukaan cawangan baharu PTTI di Shah Alam pada Sabtu.
Menurutnya, setiap kali membaca berita tentang kes buli, hatinya luluh, apatah lagi selepas insiden di Sabah baru-baru ini. Justeru, beliau menegaskan semua pihak termasuk pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera untuk membanteras gejala ini.
MK juga tidak menolak pengaruh filem dan drama mungkin menjadi salah satu faktor, namun menekankan pencegahan perlu dilakukan bersama agar kes buli tidak terus berleluasa.