Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perkongsian daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menerima mesej daripada seorang anak seni yang ingin mengeluarkan namanya daripada senarai penerima bantuan zakat.
Difahamkan tujuan anak seni itu mahu namanya dikeluarkan adalah kerana anaknya yang merupakan insan istimewa menghidap penyakit masalah tulang belakang telah meninggal dunia.
Orang ramai mula berteka-teki mengenai idenditi anak seni itu dan ternyata, pelakon Ainina Ahmad B merupakan individu yang meminta agar namanya dikeluarkan daripada penerima LZS.
Terima zakat untuk keperluan anak
Menurut sumber, Ainina berkata, sebelum ini dia terbuka untuk menerima bantuan zakat kerana memikirkan keperluan anak perempuannya itu.
Selepas anak meninggal dunia, saya rasa serba salah untuk terus terima bayaran bantuan bulanan daripada LZS. Ketika arwah hidup, saya memang tak bekerja sebab fokus menjaganya.
Saya terima bantuan bulanan daripada LZS tak lama pun, kurang setahun saja. Saya terima pun sebab fikir anak saya istimewa. Ada keperluan yang perlu dijaga. Jadi, bila anak saya dah tiada, saya tarik diri. Bantuan ini buat saya rasa bersalah kalau terus ambil.
Rasa bersalah ambil duit zakat
Dalam pada itu, pelakon itu memberitahu dia masih mampu bekerja untuk menyara kehidupan dan tidak mahu terus mengharapkan sumbangan daripada lembaga zakat.
Kenapa saya nak kena ambil wang itu sedangkan ramai lagi yang memerlukan. Tambahan pula, itu duit zakat. Kalau saya ambil dulu memang untuk anak saya.
Insya-Allah kalau ada tawaran saya boleh berlakon lagi dan berniaga. Bila anak kita sudah meninggal dunia, saya rasa cukuplah. Kita pun boleh bekerja. Masih ramai yang perlukan wang tersebut, saya rasa bersalah sangat kalau makan duit zakat.
Pelakon itu turut mengucapkan terima kasih kepada LZS kerana memberikan bantuan dalam membiayai kos rawatan pembedahan tulang belakang anaknya iaitu Elisya pada Disember tahun lalu.
Pembedahan tulang belakang arwah anak saya mencecah RM40,000 dan pihak zakat menanggung sebanyak 70 peratus dan selebihnya saya tambah.
Sekadar info, Elisya melakukan pembedahan tulang belakang pada Disember tahun lalu dan selepas melalui prosedur tersebut kesihatannya dilaporkan semakin teruk.
Elisya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) selama tiga bulan untuk pakar memantau keadannya sebelum dibenarkan pulang.
Pada 22 Jun lalu, Elisya meninggal dunia sekitar jam 2 petang.