Misteri Segitiga Bermuda. Benar Wujud Atau Sekadar Mitos?

Kehidupan

Misteri Segitiga Bermuda. Benar Wujud Atau Sekadar Mitos?

Kisah misteri Segitiga Bermuda bukanlah seusatu yang asing lagi. Terletak di Perairan Lautan Atlantik. ia terkenal dengan reputasinya yang sering menjadi lokasi kehilangan pesawat dan kapal yang melaluinya.

Ada juga yang pernah mengaitkan Segitiga Bermuda dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, walaupun spekulasi itu tidaklah begitu popular.

Advertisement

Selama lebih beberapa dekad, banyak teori yang menjelaskan bagaimanakah pesawat atau kapal ini boleh hilang begitu sahaja. Pengkaji yang skeptikal biasanya mendasarkan teori mereka secara saintifik, tetapi ada juga pengkaji yang mengaitkannya fenomena supernatural, keagamaan dan juga makhluk luar angkasa.

Apakah sebenarnya Segitiga Bermuda? Berapa luaskah perairan ini? Apakah penjelasan di sebalik kejadiannya?

1. Asal-usul nama Segitiga Bermuda.

Nama Segitiga Bermuda pertama kalinya diilhamkan pada tahun 1964 oleh penulis Vincent Gaddis dalam penulisannya untuk majalah Argosy. Walaupun Gaddis adalah orang pertama menggunakan istilah Segitiga Bermuda, tokoh yang berperanan menjadikan perairan misteri ini terkenal adalah Charles Berlitz.

Kiri: Charles Blitz, Kanan: Vincent Gaddis

Dalam bukunya “Segitiga Bermuda” yang dikeluarkan pada tahun 1974, Berlitz mengemukakan teori bahawa kewujudan dunia bawah laut Atlantis dan kaitannya dengan Segitiga Bermuda. Sejak itu, misteri Segitiga Bermuda mula dibincangkan dalam pelbagai program televisyen, filem, dokumentari, buku, laman web dan sebagainya.

2. Lokasi Segitiga Bermuda.

Segitiga Bermuda adalah kawasan perairan yang terletak di antara Bermuda, Puerto Rico dan Florida, Amerika Syarikat. Tidak ada kenyataan atau definisi yang pasti tentang sempadan kawasan Bermuda Triangle.

3. Luasnya tidak diketahui.

Oleh kerana had sempadannya tidak diketahui, luas sebenar Segitiga Bermuda juga tidak dapat dikenal pasti. Ada yang mengatakan Segitiga Bermuda memiliki anggaran keluasan melebihi 500 ribu kilometer persegi, namun ada juga yang mengatakan luasnya mencapai mencapai tiga kali ganda daripada anggaran tersebut.

4. Beberapa kes terkenal di Segitiga Bermuda.

Walaupun nama Segitiga Bermuda baru dicipta pada tahun 1964, misterinya telah bermula sejak awal abad ke-20. Terdapat beberapa kes kehilangan kapal yang terkenal di Segitiga Bermuda, termasuklah:

-USS Cyclops, yang hilang pada tahun 1918. Kapal Tentera Laut Amerika Syarikat yang berukuran panjang 164 meter ini, membawa 309 anak kapal dan mengangkut 9,000 tan bijih mangan. Kapal ini berlepas dari Brazil ke Amerika Syarikat dan berhenti di Barbados. Tetapi setelah meninggalkan Barbados, kapal ini dan semua kru hilang begitu sahaja tanpa jejak.

Ada juga para penyelidik yang beranggapan bahawa kapal ini hilang kerana beberapa faktor seperti bencana alam, ketidakseimbangan kapal kerana beban berat, masalah enjin dan akibat gelombang besar melanda kapal yang telah membuatnya karam di Puerto Rico Trench.

-Pesawat pengebom Flight 19 yang hilang pada tahun 1945. Lima juruterbang Grumman TBM Avenger terbang dari Naval Air Station Fort Lauderdale, Florida pada 5 Disember 1945 untuk latihan rutin. Kira-kira dua jam setelah penerbangan, pusat kawalan darat hilang perhubungan dengan kelima-lima pesawat tersebut.

Pesawat Mariner bersama 13 anak kapal dikerahkan ke lokasi terakhir kelima-lima pesawat itu dikesan. Tetapi pesawat yang sepatutnya melakukan misi pencarian itu juga turut dilaporkan hilang sehingga kini.

5. Teori mengenai Segitiga Bermuda.

Terdapat banyak teori yang dikemukakan oleh pengkaji untuk menjelaskan fenomena kehilangan pesawat  dan kapal di Segitiga Bermuda, tidak kira sama ada berdasarkan sains atau paranormal.

Mengikut fakta paranormal, ada yang menyebut bahwa fenomena ini disebabkan oleh teknologi kota mitos Atlantis yang berada di bawah laut. Teknologi tersebut  dinamakan Crystal Pyramid yangmempunyai gelombang yang dikatakan boleh menenggelamkan kapal dan pesawat. Selain itu terdapat juga teori yang lebih mitos seperti terdapat time portal dan juga makhluk asing yang hidup di bawah perairan itu.

Namun terdapat juga penjelasan yang lebih ilmiah seperti contohnya gangguan anomali geomagnetik yang membuat kompas dan pengendalinya menjadi keliru, Arus Teluk yang merupakan arus laut yang berasal dari Teluk Mexico merentasi Selat Florida, kejadian cuaca buruk, metana hidrat iaitu fenomena yang membuatkan kepadatan air laut berkurang dan kesalahan manusia sendiri.

6. Penjelasan Amerika Syarikat.

Tentera Laut dan Pengawal Pantai Amerika Syarikat mengatakan bahawa tidak ada penjelasan sepernatural di atas bencana yang berlaku di perairan ini. Menurut mereka gabungan kejadian semula jadi dan kesalahan manusia merupakan jawapan yang tepat berbanding teori fiksyen dan paranormal ini.

Mereka turut menyatakan bahawa tidak ada peta rasmi yang mengesahkan kewujudan sempadan Segitiga Bermuda. The United States Board on Geographic Names (BGN) juga tidak pernah mengesahkan Segitiga Bermuda sebagai nama rasmi dan mereka tidak mempunyai data rasmi mengenai kawasan tersebut.

7. Masih menjadi laluan kapal dan pesawat.

Walaupun pelbagai cerita negatif mengenai misteri Segitiga Bermuda tersebar sejak dulu, perairan dan ruang udara di sekitarnya merupakan laluan pengangkutan yang sentiasa sibuk dan sering dilalui. Perairan ini sering menjadi laluan kapal kargo dan kapal persiaran yang menuju ke Amerika, Eropah dan Kepulauan Carribean.

Apa pula pendapat dan teori anda mengenai misteri Segitiga Bermuda yang masih belum terjawab dengan bukti yang sahih sehingga kini?

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...