Misteri Pembunuhan ‘Sam Tangki Septik’, Mangsa Yang Tidak Diidentifikasikan Sejak 1977

Trending

Misteri Pembunuhan ‘Sam Tangki Septik’, Mangsa Yang Tidak Diidentifikasikan Sejak 1977

Satu kes pembunuhan misteri yang berlaku dalam satu komuniti kecil di Kanada yang diwariskan kepada ramai detektif selama empat dekad masih belum menemui jalan penyelesaian dan menghantui Polis Berkuda Diraja Kanada (RMCP).

Tofield terletak di daerah Alberta menjadi tajuk utama akhbar Kanada pada tahun 1977 ekoran penemuan mayat seorang lelaki dalam satu tangki septik di sebuah ladang di luar bandar. Mayat ini digelar ‘Sam Doe’, ‘Sam Tangki Septik’ atau ‘Tofield Doe’.

Advertisement

Identiti Sam, begitu juga dengan identiti pembunuhnya (atau lebih dari seorang pembunuh) masih menjadi misteri. Empat dekad selepas penemuan mayatnya, nama Sam yang sebenar masih tidak diketahui.

Hari Rabu, 13 April 1977, ialah hari yang sibuk buat Charlie dan Mavis McLeod, yang sedang membina satu rumah ladang baru di tanah mereka yang terletak lapan batu jauhnya di barat Tofield.

Mereka ingin menggantikan rumah  ladang yang telah lama di kawasan itu, yang telah dua tahun diabaikan.

Hari itu mereka ingin membina tangki septik baru tetapi mereka tidak memiliki pam. Jadi Charlie pergi ke tangki septik rumah ladang lama untuk mendapatkan pam yang masih berfungsi, supaya tidak perlu membeli yang baru.

Charlie memandu keretanya ke kawasan tangki septik yang sudah lama dan memiliki kedalaman enam kaki.

Dia mengangkat penutup tangki itu tetapi sesuatu yang berada dalam air pelimbahan tangki itu menarik perhatiannya.

Sehelai stoking kelabu gelap, satu kasut dan satu mayat yang terapung dengan muka ke bawah dalam tangki septiknya.

Gambar: Contoh tangki septik ladang

Terkejut, Charlie tidak berfikir panjang dan terus memandu ke balai polis untuk memberitahu penemuannya.

Dalam masa enam jam, Korporal Ed Lammerts dari Balai Polis Tofield bersama seorang lagi pegawai polis selesai menimba keluar air pelimbahan di situ menggunakan baldi aiskrim yang kosong.

Mayat itu dikeluarkan dibawa ke pemeriksa perubatan di Edmonton dan apa saja bukti yang mereka temui diletakkan dalam sebuah beg.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan tangki septik itu digunakan untuk membuang mayat tersebut dan pembunuhannya telah dilakukan di tempat lain. Mayat itu dilumur dengan kapur tohor, atau sejenis bahan kima yang dikenali dengan nama kalsium oksida.

Dalam fiksyen, kapur tohor ditunjukkan mampu memusnahkan mayat dengan cepat tetapi dalam realiti, apabila kapur tohor bercampur dengan air hanya peleburan permukaan kulit mayat sahaja yang berlaku, kemudian ia mengeringkan tisu badan, bukan memusnahkannya.

Sam Doe dipercayai merasakan kesakitan teramat sebelum maut dalam satu kejadian pembunuhan yang dianggap oleh detektif sebagai satu jenayah paling penuh dendam dan sadistik pernah ditemui.

Pemeriksa perubatan menyimpulkan dari kesan melecur pada badannya yang dia diikat, dipukul dan banyak kali dicucuh dengan rokok dan api dari penunu gas butana.

Gambar: contoh penunu gas butana

Dua kecederaan tembakan menembusi kepala dan dadanya, dan mungkin terdapat kesan-kesan kecederaan permukaan lain yang tidak dapat dikesan memandangkan mayatnya sudah mereput.

Alat sulit Sam Doe juga didapati telah dikerat dan ia dilakukan dengan begitu kejam sehinggakan pemeriksa perubatan mengambil masa berbulan-bulan lamanya hanya untuk menentukan bahawa Sam Doe ialah seorang  lelaki.

Gambar: Anggaran wajah Sam Doe pada tahun 1988

Pada mulanya, umur Sam dianggarkan antara 23 hingga 32 tahun. Dia bertubuh sederhana dan menggunakan tangan kanan. Kesemua gigi Sam Doe berada di tempatnya serta terdapat kesan tampal, menandakan dia telah mendapatkan rawatan gigi tidak lama sebelum pembunuhannya.

Juga terdapat kesan bahawa dia mengalami sejenis penyakit semasa berumur lima tahun. Penyakit itu bagaimanapun tidak dinyatakan secara spesifik dalam laporan bedah siasat Sam Doe.

Mayatnya dianggarkan telah dibuang ke dalam tangki septik itu tiga hingga empat bulan sebelumnya, tetapi kemudiannya penyiasat telah memanjangkan anggaran mereka dari antara empat bulan hingga setahun, mungkin seawal April 1976, tetapi masih tiada siapa tampil mengatakan kenal Sam Doe.

Korporal Ed Lammerts telah lama bersara dan pernah memberitahu pihak media yang dia sudah kehilangan harapan untuk mengenal pasti siapa sebenarnya Sam Doe dan menangkap pembunuhnya.

Menurut Lammerts, Polis Edmonton telah membelanjakan sehingga RM 1 juta dollar untuk meyiasat identiti sebenar Sam Doe.

Penyiasatan

Polis Edmonton merasakan pembunuh Sam Doe ialah seorang yang kenal dan tahu selok-belok bandar Tofield dan tahu bahawa kawasan tanah McLeod ialah tempat yang sempurna untuk memastikan mayat itu takkan ditemui.

Mereka juga merasakan Sam ialah seorang gelandangan atau hidup berpindah randah, mungkin bekerja sebagai seorang buruh binaan atau buruh ladang berdasarkan pakaian yang ditemui pada mayatnya.

Mereka juga merasakan dia bukan berasal dari Alberta. Pencarian rekod seramai 215 orang hilang di Alberta gagal mengesan nama sebenar Sam Doe.

Disebabkan itu, polis telah mendedahkan maklumat mengenai keadaan pembunuhan Sam Doe kepada orang awam sebagai satu cara untuk mendapatkan petunjuk.

Seramai 1,200 orang penduduk Tofield ketakutan kerana selama ini mereka menyangkakan mereka tinggal di bandar yang selamat.

Mungkin pembunuh yang membuang mayat itu berjalan di kalangan mereka dan berlakon seolah-olah tiada apa-apa telah berlaku. Ramai peladang mula memeriksa tangki septik di rumah mereka, kerana bimbang ada mayat lain dibuang di situ.

Penduduk bandar itu ketakutan selama berbulan-bulan. Polis cuba menjejaki kesemua petunjuk yang mereka dapat tetapi kesemua petunjuk itu membawa ke jalan buntu.

Rekod pergigian Sam Doe telah dihantar ke semua klinik pergigian di Alberta pada Jun 1977 untuk dibandingkan dengan rekod dalam simpanan mereka. Ia turut diterbitkan dalam buletin nasional dan majalah pergigian tetapi tiada padanan dilaporkan kepada polis.

Mayat Sam Doe kemudiannya dikebumikan di satu plot tanah yang tidak ditandakan di perkuburan Edmonton.

Biarpun begitu, semangat polis untuk menyiasat identiti sebenar Sam Doe dan apa yang telah berlaku kepadanya tetap tinggi.

Pada tahun 1978, pegawai polis Edmonton, Korporal Jamie Graham telah mengusahakan agar kes Sam Doe mendapat liputan lebih meluas yang membawa kepada lebih banyak petunjuk baru.

Namun masih, kesemua petunjuk membawa kepada jalan buntu, malah terdapat pengakuan palsu.

Korporal Graham tetap tidak mahu pembunuh Sam Doe bersenang. Dia meletakkan keyakinannya kepada satu teknik forensik terbaru waktu itu.

Pada tahun 1979, dia menghubungi Dr. Clyde Snow, seorang ahli patologi forensik Muzium Stovall di Universiti Oklahoma, Amerika Syarikat.

Dr. Snow, bersama seorang ilustrator perubatan, Betty Gatlin telah membangunkan satu proses membina semula wajah dari tengkorak, satu praktis baru diperkenalkan waktu itu.

Teknik itu telah berjaya membantu mengesan dua pertiga identiti mangsa-mangsa dalam kes yang dikemukakan kepada mereka.

Korporal Graham sendiri yang membawa kotak tulang-temulang Sam Doe ke Oklahoma kepada Dr. Snow dan Gatlin. Selepas mengambil berpuluh ukuran dan mengambil sampel DNA, dia memasukkan data-data itu ke dalam satu program komputer yang telah dibinanya.

Dr. Snow kemudian mengatakan bahawa dia pasti Sam Doe ialah seorang penduduk asal, dan usianya 35 tahun.

Sebelum ini polis hanya meletakkan julat usianya dalam 26 hingga ke 40 tahun dan dia disangka seorang berkulit putih. Maklumat ini membantu polis memfokuskan identiti Sam Doe yang dicari.

Dr. Snow kemudiannya telah membina model tanah liat anggaran wajah Sam Doe, walaupun tidak mengetahui sama ada dia mempunyai janggut , parut atau tatu.

Gambar: Binaan semula model wajah tanah liat Sam Doe oleh Cecil Chan pada 2000.

Masih, polis berharap ia dapat membantu sesiapa mengingati jika mereka pernah mengenali Sam Doe.

Dan masih juga tahun-tahun berlalu  tanpa sebarang petunjuk baru.

Pada tahun 1983, para penyiasat memutuskan untuk mendedahkan apa yang berlaku kepada Sam Doe kepada orang awam dalam usaha mencari petunjuk baru.

Terdapat kesan jerutan pada lengannya menandakan dia diikat, mungkin pada katil kerana mayatnya dibalut dengan cadar kuning yang kemudiannya diikat menggunakan tali nilon sebelum dibuang ke dalam tangki septik.

Juga terdapat kesan ikatan pada kakinya manakala bahagian kelangkang seluar jeans yang dipakai oleh Sam Doe digunting menggunakan gunting kebun, mungkin sebelum mereka mengerat alat sulitnya.

Gambar: contoh gunting kebun

Tidak dapat dipastikan mengapa polis mengatakan ‘gunting kebun’, apa yang pasti, Sam Doe mengalami kesakitan yang sukar dibayangkan sebelum menemui ajalnya.

Teori-teori

Keadaan penyeksaan dan pembunuhan yang ganas itu menyebabkan polis yakin yang ia bukan pembunuhan secara rawak tetapi ia dilakukan oleh seseorang (atau lebih) yang mengenali Sam Doe.

Mungkin ada sesuatu yang dilakukan oleh Sam Doe menyebabkan pembunuhnya sangat marah kepadanya sehinggakan melakukan semua itu sebelum membunuhnya.

Terdapat khabar angin dan spekulasi di Alberta bahawa Sam Doe mungkin terbabit dalam hubungan sulit dengan isteri orang.

Sam Doe ialah seorang lelaki Caucasian atau Red Indian, berusia antara 26 hingga 40 tahun, dengan ketinggian antara 165 cm hingga 170 cm.

Mayatnya ditemui dengan jaket jeans Levis berbutang, kemeja T kelabu gelap dan seluar jeans bersama kasut Wallabee tiruan.

Seorang warganet menyatakan binaan tanah liat wajah Sam Doe menyamai seorang yang hilang di Alberta iaitu Edward Joesph Arcand.

Edward ialah seorang penduduk Coleman, Alberta yang meninggalkan kediamannya pada 8 Jun 1975, memandu kereta Ford Falcon 1969 Station Wagon.

Pada 15 Jun 1975 kenderaannya ditemui ditinggalkan 80km di utara Coleman di Lebuhraya 940. Arcand tidak pernah dilihat sejak itu.

Namun begitu polis Edmonton telah menolak kemungkinan itu kerana Arcand tidak ada enam batang gigi sedangkan Sam Doe mempunyai kesemua giginya.

Trivia

Untuk menulis mengenai Sam Doe, penulis telah melakukan carian di Internet dan menemui satu komen di sebuah laman. Warganet itu menulis:

Tiada siapa akan percayakan saya tetapi saya ada seorang kawan, ibu saudaranya bernama Bonnie Rainwater.

Bonnie seorang berdarah campuran Caucasian-Red Indian manakala bapa saudaranya, Joseph Rainwater memang berdarah Indian. Bonnie percaya Sam Doe ialah bapa saudaranya, Joseph yang berusia 30-an waktu itu.

Bonnie beritahu saya sekitar tahun sebelum penemuan Sam Doe, Joseph tinggal dalam sebuah khemah tidak jauh dari tanah McLeod di Tofield.

Dia mempunyai otak yang terencat, mindanya seperti budak lelaki berusia 10-12 tahun jadi tidak hairan jika dia tertarik pada kanak-kanak perempuan pada usia tersebut.

Ini sudah tentu tidak boleh diterima oleh datuk pada kanak-kanak perempuan 11 tahun yang disentuhnya. Datuk kanak-kanak itu bersama beberapa orang lain telah menyeksa Joseph selama tiga hari sebelum membunuhnya dan kemudian membuang mayatnya dalam tangki septik McLeod.

Saya rasa 50% penduduk di Tofield tahu siapa Sam Doe dan siapa pembunuhnya, tapi mereka takkan mengatakan apa-apa kerana mangsa ialah seorang pencabul kanak-kanak.

Komen ini tidak dapat diversifikasikan dan baru ditulis dua minggu lepas, bagaimanapun salinan skrin tidak wujud kerana ia telah dipadamkan.

Penutup

Siapakah sebenarnya Sam Doe? 42 tahun telah berlalu namun masih belum ada jawapan rasmi mengenai identitinya. Kes ini masih dibuka dan penyiasatannya masih dilakukan oleh RMCP. – amazingnara.com

Sumber: Unidentified Wiki, Edmonton Journal

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...