Misteri Pembunuhan Beth Doe, Mangsa Yang Tidak Diidentifikasikan Sejak 1976

Trending

Misteri Pembunuhan Beth Doe, Mangsa Yang Tidak Diidentifikasikan Sejak 1976

Pengenalan

Beth Doe (digelar secara rasmi sebagai insiden No. N3-27244) ditemui mati dibunuh pada 20 Disember 1976 di White Haven, Pennsylvania. Dia dipercayai berbangsa Eropah-Amerika, dan penyiasat mengesyaki dia berasal dari etnik Eropah Tengah atau Eropah Timur.

Advertisement

Pada 20 Disember 1976, Kenneth Jumper yang berusia 14 tahun sedang bersiar-siar dalam kedinginan waktu tengahari. Semasa berjalan, dia lalu di bawah jambatan Interstate 80, yang terletak di sungai Lehigh di White Haven, Pennsylvania.

Bagi Jumper, tidak ada apa-apa yang luar biasa tengahari itu, sama saja seperti tengahari musim dingin yang lain.

Pada kira-kira pukul 4.30 petang, bagaimanapun, Jumper terjumpa beberapa objek ganjil yang menarik perhatiannya, di tebing sungai.

Apabila melihat dengan lebih dekat, Jumper terjumpa sebuah beg pakaian yang mengandungi mayat seorang bayi yang cukup sifat, bersama kepala ibunya yang terpenggal, dan hidung serta telinganya juga dipotong.

Image result for Beth Doe

Gambar: Lakaran komposit wajah Beth Doe, dari awal kes sehinggalah yang terkini paling kanan. Hidung Beth doe ialah anggaran rupa sebenar

Terkejut dan ketakutan, Jumper menghubungi polis dengan secepat mungkin.

Apabila polis sampai, dua lagi beg pakaian ditemui 20 kaki jaraknya dari tebing sungai. Penyiasat mempercayai bahawa tiga beg pakaian itu telah dicampakkan dari atas jambatan dari kenderaan yang sedang bergerak, serta pelakunya dipercayai berniat supaya beg-beg itu tenggelam dalam sungai Lehigh di bawahnya.

Gambar: Jambatan Interstate 80, Pennsylvania

Tetapi, beg-beg pakaian ini mendarat di tebing sungai, dengan isi kandungannya tercampak keluar hasil impak kejatuhannya.

Dalam dua beg pakaian lagi, terdapat kaki dan tangan wanita itu yang telah dipotong, berserta bahagian badan wanita dengan kedua-dua belah payudaranya juga sudah dipotong.

Belahan bahagian-bahagian itu didapati sempurna dan tepat, menyebabkan polis mempercayai bahawa pelakunya tahu mengenai anatomi manusia—walaupun bukan dengan kemahiran seorang pakar bedah—cuma pada masa itu penyiasat percaya pembunuh itu tahu ‘apa yang dilakukannya’ apabila memotong mayat Beth.

Ada antara bahagian badan yang telah dibelah itu dibalut dengan kertas surat khabar, yang didapati dari akhbar New York Sunday, bertarikh 26 September 1976.

Akhbar itu terkait dengan bahagian utara New Jersey, di mana mungkin ada kaitan dengan pembunuh itu.

Gambar: cadar yang digunakan untuk membalut anggota badan Beth Doe

Ada juga bahagian badan Beth Doe yang dibalut dengan cadar pudar berlatar warna merah-oren dan dengan corak bunga berwarna merah jambu dan kuning.

Gambar: tiga beg yang dicat sembur warna hitam setelah dusumbat dengan anggota badan Beth Doe

Ketiga-tiga beg pakaian yang mengandungi bahagian badan Beth disemburi dengan cat warna hitam setelah dizipkan, kesemuanya mempunyai saiz dan jenama yang sama.

Polis telah mengedarkan kepada orang ramai apa yang dipercayai rupa asal beg pakaian tersebut tetapi gambar yang diedarkan tidak membawa kepada apa-apa petunjuk yang bermakna.

Gambar: rupa asal beg pakaian yang digunakan

Penyiasatan

Pada 23 Disember, satu autopsi dijalankan di Hospital Gnaden Huetten di Lehighton, PA. Walaupun punca kematian Beth Doe didapati disebabkan jerutan di leher, dia juga didapati mempunyai kesan tembakan di leher, walaupun tidak jelas sama ada kecederaan tembakan ini dilakukan sebelum atau selepas kematiannya.

Beth Doe dianggarkan berumur antara 15 hingga 25 tahun. Dia berkulit putih, dengan rambut coklat, mata coklat dan mempunyai darah jenis O. Dengan berat antara 140-150 paun, dan dianggarkan mempunyai ketinggian 4’ 11” sehingga 5’ 4”. Cap jarinya tidak menemukan sebarang padanan dengan rekod nasional.

Dia mempunyai parut yang jelas sepanjang enam inci di atas tapak kakinya. Beth bertahi lalat atas mata sebelah kiri dan di pipi, kedua-duanya mungkin disebabkan kehamilannya.

Bayinya sebenarnya sudah hampir tarikh lahir, dan kerana sudah menjadi fetus yang cukup 9 bulan, sepatutnya boleh hidup. Autopsi menunjukkan dia seorang bayi perempuan yang sangat sihat, dan dia diberi jolokan ‘Bayi Jane Doe’.

Tulang, gigi dan rambut Beth Doe telah di uji secara isotop, yang  telah memberikan beberapa bayangan penting mengenai identiti sebenar Beth Doe.

Pertama, giginya rosak teruk, dan besar kemungkinan menyebabkan kesakitan yang teruk buat Beth sebelum kematiannya.

Bagaimanapun, walaupun keadaan giginya begitu, dia didapati pernah menampal giginya dan gigi gerahamnya pernah dicabut ketika usianya masih awal remaja. Ini menandakan, pada satu titik kehidupannya, dia mempunai akses kepada rawatan gigi.

Kedua, ujian isotop mendedahkan yang dia dilahirkan di Eropah Tengah atau Timur, lebih spesifik, penyiasat menemui kaitan antara Beth Doe dengan etnik Mediterranean.

Pada satu persimpangan hidupnya sebelum akil baligh, Beth Doe berhijrah ke Amerika Syarikat, di mana dia tinggal selama lima hingga 10 tahun sebelum kematiannya. Dia dipercayai, sebelum mengandung dan kemudian dibunuh, tinggal di kawasan Tennessee.

Tetapi mungkin, maklumat fizikal Beth yang paling pelik ialah, satu siri huruf dan nombor tertulis di tapak tangan kirinya dengan dakwat pen mata bulat, dikenal pasti ditulis di itu dalam masa lapan hingga 12 jam sebelum kematiannya.

Tingkap masa ini membangkitkan dua senario yang berkemungkinan, kedua-duanya berkesar tentang siapa yang telah menulis huruf dan nombor itu.

Sekiranya pembunuh Beth Doe yang menulisnya, dia sudah pasti sudah melarikan diri jauh dari tempat kejadian sekiranya dia memang ingin melarikan diri.

Tetapi sekiranya Beth Doe sendiri  yang menulisnya, ia menunjukkan tulisan itu ditulis dengan tangan kanan, dan dia masih hidup untuk menulisnya dalam masa lapan hingga 12 jam sebelum ditemui.

Apakah yang ditulis? Ia ialah huruf WSR dikuti nombor 4 atau 5, kemudian 4 atau 7. Dakwat itu ada kesan dikesat menyebabkan inskripsi sebenar sukar ditentukan. Kombinasi huruf dan nombor itu dibandingkan dengan plat kenderaan, malangnya, tidak membawa kepada sebarang petunjuk.

Dikeluarkan dari senarai identititi Beth Doe

Sembilan orang wanita sebelum ini dikatakan sebagai Beth Doe, tetapi kesemuanya sudah dikeluarkan dari senarai. Mereka ialah:

  1. Annastaes Banitskas dari Australia
  2. Iris Brown dari Vermont
  3. Valerie Cuccia dari New York
  4. Teresa Fittin dari Florida
  5. Trenny Gibson dari Tennessee
  6. Anna Leatherwood dari Tennessee
  7. Georgia Nolan dari Kentucky
  8. Patricia Seelbagh dari Pennsylvania
  9. Denise Sheehy dari New York

 Teori-teori

Antara teori mengenai kes Beth Doe: dia berkemungkinan seorang gelandangan, lari dari rumah, seorang penjenayah ataupun seorang wanita yang cuba melepaskan diri dari penderaan kekasihnya. Mungkin dia seorang gadis hamil yang ingin memulakan hidup baru bersama bayinya.

Mungkin juga dia gadis yang dihalau dari rumah kerana hamil luar nikah, seorang pendatang yang tidak mempunyai dokumen, seorang yang cuba melepaskan diri dari perdagangan seks, dan macam-macam lagi, namun begitu kita masih jauh dari mengenal pasti identiti sebenar Beth Doe.

Soalan yang tidak terjawab bersama identiti sebenar Beth Doe ialah, ke mana dia hendak pergi sebenarnya? Adalah dia mempunyai destinasi? Adalah dia sedang melarikan diri dari seseorang atau sesuatu?

Terdapat spekulasi bahawa perkataan yang tertulis di tapak tangan Beth, WSR mungkin merujuk kepada Women’s Services and Resources (Perkhidmatan dan Sumber Wanita). Memang wujud pusat WSR yang dibuka pada masa itu, letaknya dua jam perjalanan dari lokasi mayat Beth ditemui.

Untuk ke situ, perlu melalui jambatan Interstate 80, terdapat kemungkinan Beth tinggal di situ waktu itu dan terdengar bahawa ia telah dibuka semula setahun sebelum kematiannya.

Mungkin Beth sedang cuba melepaskan diri dari situasi yang abusif, sama ada domestik atau keluarga—menyimpan pakaiannya dalam tiga beg pakaian kemudian berlalu pergi.

Memandangkan waktu itu dekad 1970-an, ada kemungkinan Beth cuba untuk menumpang kenderaan yang lalu lalang untuk ke pusat itu, cuma terserempak orang yang salah dalam perjalanannya.

Bagaimanapun, keadaan mayatnya membuat ramai percaya bahawa kematiannya bukan serangan yang rawak, tetapi disengajakan dan dirancang oleh seseorang yang dia kenali.

Terdapat spekulasi lanjut bahawa Beth dibunuh oleh ahli keluarganya sendiri dalam budaya ‘pembunuhan bermaruah’ atau honor killing yang biasa dilaksanakan sekiranya seorang wanita dianggap memalukan keluarga.

Pembunuhan bermaruah biasa dijalankan terhadap ahli keluarga yang berzina atau hamil luar nikah, dan menjadi budaya dalam beberapa komuniti.

Mungkin disebabkan itu, ahli keluarga Beth tidak tampil mengatakan kenal dia, kerana mereka terlibat dalam pembunuhannya.

Sekiranya ada yang bertanya mengenai keberadaan Beth Doe, ahli keluarganya boleh mengatakan dia sudah mengikut bapa kepada bayinya atau sudah kembali ke negara asalnya.

Namun, tiada fakta konkrit yang boleh menyokong teori-teori ini, oleh itu, ia hanyalah sekadar spekulasi.

DNA Beth doe dan bayinya sudah dimasukkan dalam pangkalan data nasional dan pangkalan data NaMUS, pangkalan data berasaskan Internet yang membuat profil orang hilang dan mayat yang tidak dikenal pasti.

Kesimpulan

Kita mungkin takkan tahu apa yang sebenarnya telah berlaku pada Beth Doe, mengapa mayatnya dipotong-potong dan pembuangan mayatnya secara tragik dari jambatan Interstate 80.

Apa yang kita tahu, Beth dan bayinya dikebumikan bersama di perkuburan Laurytown road di Weatherly, Pennsylvania.

Batu nisan marmar mereka diukir dengan nama, Beth Doe, dan Bayi Jane Doe. – amazingnara.com

Sumber: Beth Doe – Unidentified WikiThe Unnamed – “Who is Beth Doe?”,WNEPmcall

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...