Kredit gambar : Hassan Muhd
Ulek Mayang adalah seni persembahan Melayu yang boleh dianggap seni teater muzikal kerana di dalamnya terdapat bermacam-macam seni persembahan, pantunnya dilagukan, ada tarian mengikut lagu dan irama, dilakun oleh peranan-peranan seperti Puteri Tujuh, watak pawang dan pesakit.
Sejarah Ulek Mayang dan Ugam Mayang (Pahang)
Merupakan acara ritual masyarakat Terengganu beberapa abad yang lalu. Kewujudan setua Main Puteri dan persembahan Mak Yong di kelantan begitu popular pada tahun-tahun 1870an iaitu sezaman dengan permulaan perkembangan drama bangsawan di Tanah Melayu.
Pada zaman itu, Ulek Mayang amat popular sebagai upacara pengubatan penyakit kepada masyarakat Terengganu dewasa itu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Mayang dibangkit dengan semangat dan dibangunkan dengan semah asal usul.
Dakwaan Sembuhkan Penyakit
Dalam peranannya menyembuhkan penyakit, pawang akan menggunakan mayang pinang yang masih lagi dalam seludangnya dan tidak boleh menggunakan mayang pinangnya seludang sudah pecah, sebiji guri tembaga atau batil yang berisi air, sebatang lilin yang diperbuat dari sarang dan madu lebah, bertih padi (bertih jantan), kemenyan dan beberapa kuntum bunga, biasanya bunga cempaka, melati dan melor. Lilin dinyalakan dan kemudiannya diletakkan dalam batil atau guri tembaga yang berisi air.
Apabila sampai waktunya maka pawang membakar kemenyan dalam dupa yang siap dengan bara api, dan seterusnya melihat arah asap yang sekaligus memberi petunjuk bahawa arah itulah nanti penyakit akan dibuang dan dari arah yang berlawanan pula ”Puteri Tujuh Beradik” dipanggil bagi menyempurnakan proses pengubatan.
Proses Tarian
Ia diiringi oleh seloka dan pantun oleh rakan-rakan pesakit yang lain. Persembahan ini dilakukan beramai-ramai terutamanya pada waktu malam bulan purnama di tepi pantai dengan membuat bulatan dan dukun atau pawang yang memegang mayang pinang duduk di tengah-tengah dan pada peringkat awalnya tidak ada alat muzik yang mengiringi persembahan ini.
Pada kebiasaannya, para pemain terdiri dari mereka yang berusia lingkungan 15 hingga 40 tahun. Setiap peralatan itu diasap dengan kemenyan tadi satu persatu bermula dengan seludang mayang, diikuti dengan bunga dan peralatan lainnya. Setelah itu bomoh pun menutup kepala dengan kain batik lepas dan dililit ”semutar” dan separuh badannya ditutupi dengan kain putih yang menggunakan benang kapas dan duduk bersila sambil mengulek atau mengugam.
Mengugam atau mengulek membawa maksud menyanyi dan melihat waktu yang baik untuk memohon pertolongan dan caranya ialah menyanyi dan menari. Pada waktu bomoh mula menyanyi rebana pun dimainkan untuk mengiringi nyanyian pawang dengan tingkah laku tertentu yang mulanya perlahan kemudian kepada nada yang lebih sederhana dan tinggi serta tidak boleh tersalah iramanya kerana ini akan mengurangkan konsentrasi bomoh dan tidak akan membawa turun ”Puteri Tujuh” ke alam maya dan semangat.
Upacara Dianggap Permainan
Dalam upacara yang dianggap permainan ini, seorang bomoh atau pawang akan memulakan persembahan dengan membaca mentera memuja sejambak mayang pinang atau lukah atau kukur kelapa atau sebuah serkap dan benda-benda itu akan bergerak perlahan-lahan dan menari-nari dengan sesiapa sahaja yang memegang mayang tadi atau dengan objek-objek lain.
Maksudnya jika mayang dijadikan objek utama dalam persembahan ini, maka orang yang memegangnya akan ikut bergerak mengikut gerakan mayang yang dipegangnya. Begitu juga dengan lukah atau kukur kelapa, bubu atau serkap. Di beberapa daerah di Pahang terutamanya di Hulu Tembeling dan Temerloh, lukah atau serkap diberikan pakaian seperti manusia.
Jika bomoh itu tinggi ilmunya, lukah atau serkap itu sakan bergerak-gerak tanpa dipegang. Malah yang lebih menarik lagi jika kukur kelapa digunakan, kukur itu akan bergerak sendiri dan kalau diletakkan dengan pasangan yang tidak sejenis, maka gerakannya lebih halus dan ”romantis”, dan jika diletakkan pasangan sejenis, maka ianya ”berperang”.
Tradisi Masyarakat
Dalam tradisi masyarakat di daerah ini, kukur biasa diberikan jantina iaitu kukur jantan diberikan atau dibuat ”sawat” atau alat kemaluan, manakala kukur betina di bawahnya tidak terdapat apa-apa ukiran. Gerakan ”tari” atau ”perang” kukur jika menggunakan kukur atau gerakan mayang yang menari-nari dengan pawang itu merupakan kemuncak kepada persembahan ini.
Pada peringkat terakhir, bomoh akan memecahkan mayang kelapa dengan menghempaskannya ke pasir atau menghempaskan sedulang mayang tadi ke telapak tangannya. Di saat inilah sedulang mayang tadi digerak-gerakkan memanggil-manggil tujuh orang puteri dan akan dipanggil seorang demi seorang.
Puteri Satu adalah puteri tertua dan sulong yang harus dipanggil dengan tertib dan hormat sehinggalah Puteri tujuh yang terakhir iaitu puteri bongsu dan merupakan puteri yang paling cantik dan paling sakti. Dipanggil untuk mengulek dan melihat si pesakit jikanya bertujuan untuk pengubatan dan akan merahmati persembahan ulek mayang jika ianya untuk persembahan hiburan.
Upacara membawa turun tujuh puteri ini dibantu oleh ”peduan” (Panduan) yang berfingsi sebagai ”Tok Minduk” dalam upacara perbomohan dan juga sebagai pembantu dalam persembahan Main Puteri dan Mak Yong di kelantan. Tok Minduk atau Peduan bermaksud sebagai ”guru tua” atau guru segala guru dalam pengamalan ilmu seni tersebut.
Semasa perbualan antara peduan dan Puteri Ketujuh ini berlangsung, penepuk gendang akan menghenti menepuk rebananya dan jika rebab digunakan menggantikan rebana, pemain rebab akan menghentikan gesekan rebabnya. Ini bagi mengelakkan penonton atau mereka yang berada di tempat tersebut terasuk atau “tergerak angin” yang kemudiannya menjadikan suasana semakin rumit, iaitu diubati tidak sembuh, yang tak sakit mendapat penyakit.