Semalam, seorang remaja berusia 17 tahun dilaporkan lemas selepas tergelincir jatuh ke dalam sebuah lombong di Taman Putra Perdana.
Tetapi usaha Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan misi mencari dan menyelamat bertukar tragedi apabila enam orang anggota bomba penyelam lemas dan maut dalam misi ini.
Bertambah sedih apabila punca tragedi ini ialah daripada pusaran arus deras berpunca daripada hujan lebat yang mengalir ke kawasan tumpuan operasi yang sedang dijalankan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain, yang dipercayai menjadi punca peralatan menyelam yang dipakai mereka tertanggal. Kejadian ini berlaku kira-kira jam 9 malam semalam.

Sumber: Utusan
Beberapa anggota bomba yang lain berada di tebing, berusaha menarik tali yang mengikat semua mangsa, namun tidak berjaya kerana tekanan arus yang terlalu kuat.
Selepas berusaha selama kira-kira 30 minit, akhirya mereka berhasil menarik naik mangsa yang pertama, sebelum disusuli yang lain.
Anggota bomba yang terkorban ketika bertugas ialah:
- Mohd Fatah Hashim, 34 tahun.
- Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun.
- Mazlan Omarbaki, 25 tahun.
- Yahya Ali, 24 tahun.
- Adnan Othman, 33 tahun.
- Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan dibawa ke Balai Bomba Penyelamat Shah Alam untuk penghormatan terakhir.
Misi mencari dihentikan buat seketika kerana cuaca yang tidak mengizinkan dan bapa kepada remaja yang lemas terkejut dengan tragedi yang meragut nyawa bomba serta mengharap mayat anaknya ditemui.